Erat hubungan warga Balai Bomba Sungai Liang

Erat hubungan warga Balai Bomba Sungai Liang

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 9 Nov – Beberapa aktiviti sukan peringkat Inter Section dan Inter Balai telah dipertandingkan baru-baru ini bagi meraikan Penubuhan Balai Bomba Sungai Liang yang telah beroperasi selama 26 tahun, di sini.

Aktiviti-aktiviti tersebut termasuk Kejohanan Dart Inter Balai yang telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu perseorangan dan berkumpulan, Kejohanan Futsal Inter Balai serta Kejohanan Bola Tampar Inter Balai.

Sehubungan itu, majlis penyampaian hadiah diadakan hari ini, berlangsung di Balai Bomba Sungai Liang yang diselajurkan dengan penyampaian cenderahati kepada anggota yang bersara.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Pegawai Pemerintah Operasi B, Penguasa Kanan Muhd Shahreni bin Haji Mohd Yussof.

Awang Yahya menyampaikan hadiah kepada juara dalam pertandingan aktiviti sukan balai bomba tersebut.
Awang Yahya menyampaikan hadiah kepada juara dalam pertandingan aktiviti sukan balai bomba tersebut.

Dalam ucapannya, Penguasa Kanan Muhd Shahreni berkata bahawa acara sukan itu memberikan peluang bagi semua warga bomba untuk mengeratkan lagi hubungan yang telah sedia terjalin serta mengamalkan cara hidup sihat melalui bersukan selepas semua sibuk menyempurnakan tugas harian di pejabat masing-masing.

Menurutnya lagi, selain acara sukan, Balai Bomba Sungai Liang juga tidak ketinggalan dalam menjalankan aktiviti keagamaan seperti mengadakan majlis ibadah korban yang telah diadakan tahun ini, selain satu pencapaian yang telah diraih oleh Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Pegawai Balai Awang Mohd Ali bin Hassan, atas penyertaannya dalam pertandingan Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan.

Beliau berharap pencapaian seperti itu akan dapat dikekalkan serta ditingkatkan sehingga meraih kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama jabatan.

Majlis tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang kejohanan aktiviti sukan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat yang seterusnya turut menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada anggota bersara Pengiran Jarail bin Pengiran Haji Patra.

ARTIKEL YANG SAMA