Erat kerjasama Brunei-Singapura

Erat kerjasama Brunei-Singapura

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Walaupun kerjasama dua hala di antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Republik Singapura masih baru namun begitu hubungan berkenaan sudah lama wujud menerusi interaksi yang kerap di peringkat kementerian dan jabatan.

Menerusi kerjasama dua hala berkenaan, ia telah menyediakan peluang yang besar bagi kedua-dua buah negara untuk mempelajari di antara satu sama yang lain khususnya dalam pelbagai bidang termasuk kaedah kawalan sempadan, memadam kebakaran serta pengurusan mencari dan menyelamat dalam bandar, kata Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.

Kesemua usaha itu membawa kepada pembelajaran sepanjang hayat dan perkongsian ilmu pengetahuan bagi kebaikan kedua-dua buah negara ke arah komuniti yang makmur dan selamat untuk semua, katanya semasa berucap merasmikan Program Pertukaran Latihan Tahunan Bersama Brunei Darussalam dan Singapura ke-2, yang berlangsung di Bangunan KHEDN, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Desmond Koh dan pegawai-pegawai kanan dari JPM dan KHEDN.

Latihan di antara Republik Singapura dan Negara Brunei Darussalam diadakan buat kali kedua dengan kerjasama JPM Brunei serta hasil daripada Mesyuarat Dua Hala di antara Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura dan KHEDN Brunei pada awal 2016.

Haji Idris  serta pegawai-pegawai  kanan bergambar-ramai bersama dengan para peserta program berkenaan.
Haji Idris serta pegawai-pegawai kanan bergambar-ramai bersama dengan para peserta program berkenaan.

Menurut Haji Idris, menerusi program itu, para peserta akan berpeluang untuk menyaksikan jabatan-jabatan dalam bahagian sekuriti dan keselamatan di JPM dan KHEDN di mana mereka akan memperoleh banyak maklumat dan ilmu pengetahuan terutama dalam konteks Brunei di mana ia mempunyai jumlah penduduk yang lebih kecil berbanding Singapura tetapi mempunyai skop tugas yang serupa.

Katanya, selain mengembangkan rangkaian kerjasama, beliau ingin melihat perkongsian dan pertukaran maklumat serta ilmu pengetahuan di antara kedua-dua buah negara itu diteruskan kerana ia amat penting dan bermanfaat terutama dalam era globalisasi di mana maklumat dan ilmu pengetahuan tidak mempunyai sempadan. Program Pertukaran Latihan Tahunan Dua Hala Brunei Darussalam dan Singapura ke-2 bermula 14 hingga 18 November bagi Fasa Singapura di mana seramai 17 orang peserta telah dipilih untuk menyertai program berkenaan. Manakala Fasa Brunei bagi latihan dua hala itu bermula hari ini hingga 26 November.

Peserta program berkenaan terdiri daripada sembilan orang peserta dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura dan lapan orang peserta dari JPM dan KHEDN Brunei.

Bagi Fasa Brunei, para peserta akan mengadakan siri lawatan kerja ke jabatan-jabatan yang berkenaan di bawah JPM dan KHEDN termasuk JPM, Biro Kawalan Narkotik, Pasukan Polis Diraja Brunei, Biro Mencegah Rasuah, Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA