Erat kerjasama dalam bidang ekonomi

Oleh Hajah Saemah Kepli

Gambar oleh Infofoto

 

NANNING, China, 12 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengalu-alukan peningkatan berterusan penglibatan Negara Brunei Darussalam dengan perusahaan-perusahaan dan syarikat-syarikat China dan Baginda berharap agar lebih banyak lagi perkongsian akan terus dijalin.

Baginda menghargai hubungan istimewa dalam bidang ekonomi antara Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Otonomi Guangxi Zhuang dan mengalu-alukan usaha sama antara kedua-dua belah pihak di bawah Brunei-Guangxi Economic Corridor (BGEC), yang merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pelabuhan, perikanan dan teknologi tenaga yang bersih.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan perkara ini semasa berkenan mengurniakan titah pada Dialog Meja Bulat dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dari Syarikat-syarikat China semasa Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-China (CABIS) ke-14 yang berlangsung di Hotel Grand Metropark Liyuan, Nanning.

Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Dialog Meja bulat CABIS ke-14 membawa tema “Memperkukuhkan Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan China-Brunei bagi Pembangunan Bersama.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama ketua-ketua pegawai eksekutif dari syarikat-syarikat China semasa dialog tersebut.

Baginda Sultan disembah kenalkan kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Zhejiang Hengyi Froup Co. Ltd, Qiu Jianlin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembah kenalkan kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank of China (HK), Yue Yi.
Baginda Sultan disembah kenalkan kepada Pengerusi Beibu Gulf International Port Group Co. Ltd, Zhou Xiaoxi.
KDYMM ketika berkenan berangkat menghadiri dialog tersebut.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen turut berkenan menyertai dialog tersebut.

Dialog berkenaan juga dihadiri oleh wakil-wakil tertinggi dari Bank of China, Zhejiang Hengyi Group Co. Ltd., Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co. Ltd. dan Huawei Technologies Co. Ltd.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah menerangkan bahawa matlamat negara sebagai sebuah hab logistik serantau telah dipermudahkan lagi dengan pengoperasian Pelabuhan Muara yang diperbaharui.

Baginda menyambut baik usaha-usaha dalam memperbaiki kesaling-hubungan di antara China dan Asia Tenggara dan Baginda melahirkan perasaan gembira atas perhubungan udara secara langsung Nanning dan Negara Brunei Darussalam yang baru sahaja beroperasi.

Baginda juga bertitah menekankan usaha-usaha dalam mempromosikan pelancongan hendaklah dipertingkatkan lagi bagi menggalakkan pertukaran-pertukaran di antara rakyat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia selanjutnya bertitah bahawa, China akan mendapat lebih banyak peluang untuk dimanfaati melalui pelbagai penglibatan, dengan tertumpunya Negara Brunei Darussalam terhadap mempelbagaikan ekonomi negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menerangkan bahawa bidang-bidang keutamaan Kepelbagaian Ekonomi Brunei Darussalam adalah Industri-industri Halal; Industri-industri Teknologi Inovatif dan Kreatif; Perkhidmatan Perniagaan; Pelancongan; dan Minyak dan Gas Hiliran.

Baginda juga menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan pelbagai perubahan sejak beberapa tahun yang lalu dalam mewujudkan suasana yang lebih mesra-niaga.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda ke dialog berkenaan dijunjung oleh Pengerusi Majlis bagi Promosi Perdagangan Antarabangsa China dan Pengerusi Jawatankuasa CABIS, Jiang Zengwei; Setiausaha Parti Wilayah Otonomi Guangxi Zhuang, Peng Qinghuadan Setiausaha Agung CABIS, He Xiaoling.

Sebelum acara bermula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi sesi bergambar ramai. Acara dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Jiang Zengwei.