Erat kerjasama dalam industri halal

Erat kerjasama dalam industri halal

TOKYO, 2 Jun – Lawatan rasmi pertama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun minggu lepas atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala yang telah lama terjalin tetapi juga membuka laluan bagi kerjasama dalam bahagian pertumbuhan baharu terutamanya industri halal.

Banyak yang boleh ditawarkan Malaysia kepada Jepun dari segi pengalaman negara dalam mengeluarkan barangan dan perkhidmatan halal memandang-kan jangkaan kedatangan lebih sejuta pelancong dan atlit beragama Islam ke Jepun apabila Tokyo menjadi tuan rumah kejohanan Olimpik 2020.

Status bereputasi Malaysia sebagai hab halal utama dunia dan pusat rujukan dan perdagangan global bagi industri halal arus perdana baharu yang dipandang tinggi oleh kerajaan Jepun, sepatutnya dieksploitasikan dengan sewajarnya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersalaman dengan Fumio Kishida selepas menyampaikan ucaptama pada majlis pertemuan dengan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia(JEMACA) Ke-34. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersalaman dengan Fumio Kishida selepas menyampaikan ucaptama pada majlis pertemuan dengan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia(JEMACA) Ke-34. – Bernama

Banyak yang boleh ditawarkan Kuala Lumpur dari segi persijilan halal, pindahan teknologi dan prosedur operasi standard dalam menentukan produk dan perkhidmatan halal.

Kerajaan Jepun berminat untuk menjadikan Tokyo sebagai destinasi mesra orang Islam, yang mana Malaysia bersedia untuk membantu.

Justeru, perlu ada interaksi peringkat tinggi yang konsisten antara Malaysia dan Jepun dan lawatan Ahmad Zahid menyokong usaha ini.

Tambahan lagi, di Jepun sendiri terdapat kira-kira 100,000 orang Islam yang mana 10 peratus adalah orang Jepun sendiri, manakala selebihnya orang asing yang menetap di Jepun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA