Erat kerjasama dalam pelbagai bidang

Erat kerjasama dalam pelbagai bidang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Negara Brunei Darussalam dan Bangladesh terus mempunyai hubungan dua hala dan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang termasuk kebudayaan, kesenian, pendidikan dan latihan pertahanan.

Di samping itu, warga Bangladesh yang berkemahiran turut berkhidmat di Negara Brunei Darussalam, jelas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdul Hye dalam ucapannya di Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Bangladesh ke-46 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.

Hadir bagi mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah dan isteri.

Majlis turut dihadiri oleh perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para jemputan lain dan pegawai serta kakitangan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin dan TYT Mohammed Abdul Hye bersama isteri masing-masing memotong kek.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin dan TYT Mohammed Abdul Hye bersama isteri masing-masing memotong kek.

TYT Mohammed Abdul Hye dalam ucapannya turut menyatakan penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas sokongan yang diberikan kepada golongan profesional, pelajar dan pekerja-pekerja dari Bangladesh untuk mengetengahkan bakat serta kepakaran mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada Negara Brunei Darussalam.

Beliau turut menyatakan beberapa perkembangan terkini yang dilaksanakan di Bangladesh di majlis berkenaan seperti pembinaan Jambatan Payra, pembinaan sebuah lapangan terbang baru di Bagerhat dan juga pembinaan lebuh raya empat lorong iaitu Dhaka-Chittagong.

Majlis kemudian menyaksikan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin dan TYT Mohammed Abdul Hye bersama isteri masing-masing memotong kek sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Bangladesh ke-46.

TYT Mohammed Abdul Hye dan isteri kemudian menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin dan isteri.

ARTIKEL YANG SAMA