Erat kerjasama perdagangan Brunei-Rusia

Erat kerjasama perdagangan Brunei-Rusia

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Persekutuan Rusia berharap jalinan kerjasama perdagangan dengan Negara Brunei Darussalam akan merintis jalan bagi negara itu menembusi pasaran rantau ASEAN.

Kos memulakan perniagaan baru yang rendah serta kemudahan dan khidmat sokongan perniagaan yang sedia membantu melancarkan proses dan prosedur menjadi antara daya tarikan negara ini dipilih sebagai potensi rakan niaga Rusia dalam ASEAN berbanding kos mengendalikan perniagaan di sesetengah negara anggota lain yang ‘mahal’.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Rusia-ASEAN, Viktor L. Tarusin berkata, lawatan delegasi perniagaan Persekutuan Rusia ke negara ini adalah salah satu inisiatif negara itu untuk menyertai komuniti ekonomi ASEAN menjelang Persidangan Kemuncak bagi Peringatan pada Mei depan yang merupakan satu mercu tanda penting dalam 20 tahun terjalinnya hubungan Rusia-ASEAN.

Beliau berharap pada persidangan itu kelak akan dirumuskan satu garis pandu mengenai cara ekonomi besar itu dalam menyumbang dengan lebih aktif lagi dalam komuniti serantau ini.

Beliau membuat komen itu ketika ditemu bual oleh pemberita pada Majlis Forum Perniagaan Misi Rusia yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini.

Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai bersama Viktor Tarusin dan delegasi perdagangan Rusia.
Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai bersama Viktor Tarusin dan delegasi perdagangan Rusia.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikan forum itu ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Ekonomi, Persekutuan Rusia, Alexey Vedev selaku ketua delegasi.

Viktor Tarusin menjelaskan, Menteri Pembangunan Ekonomi Rusia telah menetapkan tiga destinasi lawatan perdagangan itu, iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Vietnam sebagai langkah awal untuk meluaskan hubungan perdagangan negara itu.

Ditanya mengenai peranan Negara Brunei Darussalam dalam mengukuhkan lagi hubungan Rusia dan ASEAN, beliau menjawab, sejak Disember 2015, ASEAN telah muncul sebagai sebuah komuniti ekonomi serantau yang sekali gus telah meringankan kekangan-kekangan perdagangan dua hala seperti urusan kastam dan imigresen.

“Kami percaya jika kami dapat menembusi pasaran di sebuah negara anggota ASEAN, maka kami juga yakin yang kami akan berupaya menembusi pasaran semua negara anggota serantau ini,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan, keistimewaan untuk melabur di negara ini adalah kerana kestabilan politik yang baik dan negara ini mempunyai sistem, khidmat bantuan untuk menubuhkan perniagaan yang begitu jelas dan kos untuk memulakan dan mengendalikan perniagaan yang rendah berbanding sesetengah negara serantau yang lain.

Dengan mengambil kira semua keistimewaan itu maka beliau merasakan Negara Brunei Darussalam merupakan negara rakan yang strategik bagi Rusia memulakan penerokaan mereka ke dalam pasaran ASEAN seterusnya.

Ketika ditanya mengenai kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini, Viktor Tarusin berkata, lawatan itu akan mereka gunakan untuk meninjau segala kemudahan, sokongan dan keistimewaan yang disediakan untuk syarikat pelabur asing di negara ini.

Menurutnya, delegasi perniagaan yang menyertai rombongan itu berharap jentera promosi perniagaan yang telah diwujudkan oleh pihak kerajaan benar-benar dapat membantu melonjakkan perkongsian bijak bidang perdagangan di antara kedua-dua negara.

Beliau menjelaskan antara pertemuan penting bagi delegasi itu adalah dengan anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi membincangkan untuk menubuhkan Majlis Perniagaan Rusia-Brunei.

Selain itu, delegasinya juga telah mengaturkan beberapa pertemuan pada sesi pemadanan perniagaan dengan syarikat tempatan yang pada masa ini berada di peringkat terakhir persetujuan.

Beliau seterusnya berharap, di akhir lawatan perdagangan selama dua hari itu akan memberi pengalaman peribadi meninjau persekitaran perdagangan di negara ini dan berbincang secara langsung dengan syarikat tempatan yang berpotensi untuk mewujudkan usaha sama perdagangan dengan syarikat-syarikat Rusia.