Erat perhubungan melalui penyiaran

Erat perhubungan melalui penyiaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama ke-26 di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Pemerintah Republik Singapura mengenai Kerjasama dalam Bidang Penerangan dan Penyiaran telah bermula hari ini dengan majlis pembukaan di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri (JPM), di sini.

Majlis pembukaan mesyuarat ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), JPM, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku Ketua Delegasi Brunei Darussalam.

Sementara itu, mengetuai pihak delegasi Republik Singapura ialah Setiausaha Tetap Kedua, Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Gabriel Lim.

Gambar ramai Awang Mohd Riza bersama para delegasi dari Republik Singapura.
Gambar ramai Awang Mohd Riza bersama para delegasi dari Republik Singapura.
Awang Mohd Riza ketika membuka mesyuarat tersebut.
Awang Mohd Riza ketika membuka mesyuarat tersebut.

Pada majlis pembukaan tersebut, ketua-ketua delegasi telah membuat ucapan pembukaan mereka.

Mesyuarat selama dua hari tersebut akan membincangkan mengenai hala tuju, projek-projek dan kegiatan yang diungkayahkan bersama dalam bidang kerjasama penyiaran dan penerangan yang dilaksanakan oleh Jabatan Radio Televisyen Brunei dan Jabatan Penerangan, Negara Brunei Darussalam bersama Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Republik Singapura; Info-Communications Media Development Authority of Singapore; dan MediaCorp Pte Ltd. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu, Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Radio Televisyen Brunei dan Jabatan Penerangan.

ARTIKEL YANG SAMA