Erat silaturahim, awal Muharam

Erat silaturahim, awal Muharam

Oleh Hardy AJ

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Kedatangan awal tahun Hijrah juga merupakan peluang bagi keluarga mengeratkan silaturahim dengan mengadakan pelbagai acara seperti yang diadakan oleh keluarga besar Awang Abdul Hai dan Hajah Siti Hawa.

Majlis Malam Jalinan Kasih Abd Hai dan Hajah Siti Hawa tersebut telah diadakan di Dewan Muhibah, Berakas dan merupakan projek yang julung-julung kalinya diungkayahkan oleh anak-anak, cucu-cicit dan piut keluarga Awang Abdul Hai dan Hajah Siti Hawa.

Acara yang penuh kemeriahan tersebut menyaksikan kehadiran hampir 300 orang ahli keluarga yang terdiri daripada generasi pertama purih keturunan Awang Abdul Hai dan Hajah Siti Hawa bersama ahli keluarga masing-masing sehingga ke generasi sekarang.

Malah keluarga terdekat yang datang dari Daerah Belait, Tutong dan Temburong juga dijemput hadir untuk menjayakan majlis.

Atur cara majlis diisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang ahli keluarga, persembahan Dikir Syarafil Anam, membaca Yasin, tahlil dan doa kesyukuran.

Gambar ramai keluarga semasa majlis perhimpunan berkenaan.
Gambar ramai keluarga semasa majlis perhimpunan berkenaan.

Selain itu, ia dimeriahkan dengan sesi suai kenal, cabutan bertuah dan pertunjukan slaid gambar keluarga masing-masing.

Para jemputan yang hadir pada malam tersebut juga menerima cenderahati berupa sebuah buku Salasilah Abd Hai dan Hajah Siti Hawa sebagai kenang-kenangan.

Menurut salah seorang ahli keluarga berkenaan, majlis ini dihasratkan akan dijadikan sebagai acara tahunan di samping mengadakan beberapa aktiviti pada masa akan datang seperti aktiviti amal, lawatan ke luar negara untuk menjejaki sanak saudara yang jauh dan juga menunaikan ibadah umrah secara berkelompok.

ARTIKEL YANG SAMA