Erat silaturahim, semai semangat kerjasama

Erat silaturahim, semai semangat kerjasama

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 23 Mei – Bersempena menjelangnya bulan Ramadan tidak lama lagi, kerja gotong-royong membersihkan tanah perkuburan terus giat diadakan oleh pelbagai pihak termasuk persatuan-persatuan, jabatan kerajaan dan sebagainya, di sini.

Turut mengadakan kempen seumpamanya, baru-baru ini ialah ahli-ahli beberapa buah persatuan antaranya Persatuan Pengakap Daerah Belait dan Persatuan Bekas Perajurit cawangan Daerah Belait, gabungan Majlis Perundingan Kampung Labi dan penduduk Kampung Kuala Balai serta orang-orang perseorangan yang bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam di Kampung Kuala Balai.

Kempen berkenaan turut bertujuan untuk mengeratkan ikatan silaturahim antara peserta-peserta yang melibatkan diri di samping menyemai semangat sentiasa bekerjasama dan saling bantu membantu sesama masyarakat dan penduduk kampung serta ahli-ahli persatuan.

Kira-kira 50 orang terlibat dalam projek itu termasuk Pesuruhjaya Daerah Persatuan Pengakap, Haji Mohd Salleh bin Haji Ahmad, dan Pengerusi Persatuan Bekas Perajurit cawangan Daerah Belait, Haji Hassan bin Tuah.

Antara yang terlibat membersihkan tanah perkuburan di Kampung Kuala Balai Belait.
Antara yang terlibat membersihkan tanah perkuburan di Kampung Kuala Balai Belait.
Kempen Membersihkan Tanah Perkuburan Orang Islam Batu Tiga Jalan Maulana anjuran Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.
Kempen Membersihkan Tanah Perkuburan Orang Islam Batu Tiga Jalan Maulana anjuran Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.

Selain kerja membersihkan persekitaran kawasan tanah perkuburan, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa arwah yang telah dipimpin oleh Skip Haji Ibrahim bin Haji Dollah.

Sementara itu, semalam, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria turut mengadakan kempen seumpamanya di kawasan Batu 3 Jalan Maulana di sini.

Kira-kira 80 orang dalam kalangan pegawai dan kakitangan jabatan tersebut telah menyertai kempen itu, yang turut disertai oleh Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Sarih bin Tabong.

Aktiviti tersebut merupakan antara kegiatan amal jabatan berkenaan yang antara lain bertujuan untuk mengeratkan tali silaturahim antara pegawai dan kakitangannya.

ARTIKEL YANG SAMA