Eratkan pertalian melalui aktiviti riadah

Eratkan pertalian melalui aktiviti riadah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 20 Dis – Bersempena Cuti Persekolahan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) cawangan Daerah Tutong dengan kerjasama Daerah Polis Tutong, kelmarin, telah mengadakan senaman Zumba di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tutong.

Seramai lebih 100 orang mengikuti senaman tersebut secara percuma yang terdiri daripada anggota-anggota Daerah Polis Tutong, agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan di Daerah Tutong, orang ramai dan penduduk-penduduk di daerah berkenaan.

Turut hadir di acara senaman tersebut ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Supt. Haji Chipli bin Haji Mohamad dan Ketua JBS cawangan Daerah Tutong, Awang Kamil bin Awang Lamat.

Supt. Haji Chipli menurut kenyataannya berkata tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk berkumpul dan berinteraksi bersama komuniti, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama khususnya di antara agensi-agensi kerajaan dan orang ramai serta penduduk Daerah Tutong.

Pada kali ini, Daerah Polis Tutong dengan kerjasama JBS cawangan Daerah Tutong memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertai senaman Zumba tersebut secara percuma untuk bersuai kenal dengan anggota-anggota Pasukan Polis Daerah Tutong dan agensi-agensi kerajaan yang lainnya.

Antara yang menyertai senam zumba yang dihadiri oleh Supt. Haji Chipli dan Awang Kamil.
Antara yang menyertai senam zumba yang dihadiri oleh Supt. Haji Chipli dan Awang Kamil.

Selain itu, aktiviti tersebut juga dapat dilakukan secara bekerjasama, lebih-lebih lagi dalam aktiviti yang menjurus kepada penjagaan kesihatan, di samping dapat berinteraksi sesama mereka, jelasnya lagi.

Beliau berharap aktiviti yang melibatkan Daerah Polis Tutong ini akan dapat diteruskan lagi dan akan dilaratkan ke mukim-mukim, Kampung dan sekolah-sekolah di Daerah Tutong bagi meningkatkan lagi kerjasama bersama orang ramai, penduduk-penduduk kampung dan mukim .

Sementara itu, Awang Kamil pula menjelaskan senaman itu diadakan bagi memeriahkan lagi acara sukan mingguan pihak JBS Daerah Tutong yang dijalankan pada setiap hari Sabtu.

Sebagai sebuah jabatan yang mementingkan penjagaan kesihatan dan memajukan sukan kepada orang ramai, beliau berharap pihak JBS akan mengadakan pelbagai sukan secara berterusan seperti senamrobik, acara-acara sukan persahabatan termasuk badminton dan sebagainya, yang akan dibukakan kepada orang ramai secara percuma nanti.

ARTIKEL YANG SAMA