Erdogan kritik dana pelarian EU

Erdogan kritik dana pelarian EU

ISTANBUL, 3 Okt – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini menuduh Kesatuan Eropah (EU) menangguhkan penghantaran tiga bilion euro yang dijanjikan di bawah perjanjian penting untuk menyokong aliran penghijrah ke Eropah.

“Apa yang disampaikan kepada kami sejauh ini adalah sebanyak 179 juta euro. Manakah janji tiga bilion euro…Tahun ini sudah hampir ke penghujungnya,” kata Erdogan dalam komen televisyen di bandar Ankara.

“Mereka menabur janji namun tidak menunaikannya,” katanya lagi.

Sebagai pertukaran bagi mengurangkan aliran penghijrah yang menekan pintu-pintu negara-negara anggota EU, Brussels telah menawarkan Ankara beberapa insentif termasuk janji tiga bilion euro (AS$3.4 bilion), perjalanan bebas visa dan rundingan keahlian yang dipercepatkan.

Menurut laman web EU, Brussels pada tahun ini sahaja mempersetujui kontrak bernilai lebih 1.2 bilion euro bagi pelbagai projek kemanusiaan bagi para pelarian – yang mana 467 juta euro sudah pun dibayar.

Dalam projek besar sebelumnya di bawah perjanjian bersama Turki yang dimeterai pada Mac, EU bulan lalu melancarkan skim bernilai hampir 350 juta euro bagi menyediakan pelarian dengan kad debit prabayar.

Turki sedang menempatkan kira-kira tiga juta pelarian – kebanyakan mereka warga Syria – di bawah dasar pintu terbuka bagi orang yang melarikan diri daripada konflik sebelahnya. Erdogan berkata bahawa sama ada atau tidak EU menyampaikan dana, Turki akan melakukan tugas kemanusiaannya bagi ‘orang yang lari daripada bom-bom itu’. – AFP