Erdogan terlibat dengan IS

Erdogan terlibat dengan IS

MOSCOW, 2 Dis (AFP) – Kementerian pertahanan Rusia hari ini menuduh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan keluarganya terlibat dalam perdagangan minyak haram dengan kumpulan jihad Islamic State (IS), ketika pertelingkahan semakin marak berhubung sebuah pesawat perang Moscow yang ditembak jatuh oleh Ankara.

“Pengguna utama minyak yang dicuri dari pemilik sah Syria dan Iraq adalah Turki. Menurut maklumat yang diperolehi, peringkat tertinggi kepimpinan politik negara itu, Presiden Erdogan dan keluarganya, terlibat dalam perniagaan jenayah ini,” kata timbalan menteri pertahanan, Anatoly Antonov memberitahu para wartawan.

Hubungan antara Turki dan Rusia telah berkecai selepas Ankara menembak jatuh jet di sempadannya dengan Syria Selasa lepas, dengan Presiden Vladimir Putin menuduh Ankara menembak pesawat itu ‘untuk melindungi saliran pembekalan minyak ke wilayah Turki’.

Erdogan menyangkal dakwaan Rusia yang Turki terlibat dalam perdagangan minyak haram dengan kumpulan itu, termasuk IS, di Syria dan Iraq, menegaskan dia akan meletak jawatan jika pertuduhan itu disahkan betul.

“Hari ini kami hanya mendedahkan sebahagian daripada fakta yang kami perolehi, bahawa adanya pasukan gabungan penjahat dan elit Turki yang bekerja di rantau itu untuk mencuri minyak daripada jirannya,” kata Antonov pada sidang akhbar di kementerian pertahanan.