Ericsson, Apple selesai pertikaian paten

Ericsson, Apple selesai pertikaian paten

STOCKHOLM, 21 Dis (AFP) – Syarikat gergasi telekom Sweden, Ericsson telah mencapai persetujuan pelesenan global dengan Apple yang menyelesaikan beberapa pertikaian paten sebelumnya antara kedua-dua buah syarikat itu, umum Ericsson hari ini.

Syarat-syarat persetujuan itu sulit, menurut kenyataan Ericsson, namun ia ‘termasuk pelesenan silang meliputi paten ke atas standard penting kedua-dua syarikat (termasuk GSM, UMTS dan standard LTE) dan menyediakan hak paten lain tertentu.

“Sebagai tambahan, persetujuan itu….menyelesaikan semua pertikaian berkaitan dengan pencabulan paten antara syarikat-syarikat,” tambah kenyataan itu lagi.

Ericsson telah memfailkan tuntutan mahkamah di Britain, Jerman dan Netherland berhubung penggunaan tidak berlesen ke atas teknologinya dalam iPhones dan peranti wayarles lain. Sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, syarikat itu akan berkolaborasi dalam pembangunan mengenai standard selular 5G generasi akan datang, mengoptimumkan rangkaian wayarles yang ada bagi operator-operator dan juga dalam pengoptimuman trafik video.

“Kami berbesar hati dengan persetujuan baru bersama Apple ini, yang melapangkan laluan bagi kedua-dua syarikat untuk terus memfokuskan bagi membawa teknologi baru kepada pasaran global, dan membuka lebih banyak peluang perniagaan bersama pada masa hadapan,” kata Kasim Alfalahi, ketua pegawai kemudahan intelektual di Ericsson.

Sementara Ericsson tidak lagi membuat telefon bimbit, ia masih lagi menjadi pembekal utama peralatan bagi rangkaian mudah alih, dan mempunyai lebih 35,000 paten teknologi dan 100 persetujuan paten lesen di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA