Ernie Els kembali gegarkan CIMB Classic

Ernie Els kembali gegarkan CIMB Classic

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) – Bekas pemain golf nombor satu dunia, Ernie Els adalah antara pemain terkemuka yang akan menyertai kejohanan CIMB Classic di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) dari 29 Okt hingga 1 Nov ini.

Ini adalah penampilan ketiga Els, 46, yang berasal dari Afrika Selatan di CIMB Classic.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pengurusan Aset dan Pelaburan, Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid, turut mengesahkan penyertaan adalah juara Kejuaraan PGA 2011, Keegan Bradley dan pemenang kejohanan sama edisi 2013, Jason Dufner.

“Selain itu, dua bekas juara CIMB Classic, Nick Watney dan Ben Crane, naib juara dua kali CIMB Classic, Gary Woodland, bintang Jepun, Ryo Ishikawa serta Luke Donald dari England juga akan mengambil bahagian,” katanya dalam satu kenyataan.

CIMB Classic yang memasuki edisi keenam tahun ini akan menampilkan 78 pemain elit terdiri daripada 60 pemain Jelajah PGA, 10 wakil Jelajah Asia dan lapan jemputan penaja.

“Senarai akhir peserta akan diketahui 26 Okt ini apabila 10 pemain dari Jelajah Asia dipilih,” katanya.