Erra Fazira doakan kebahagiaan Engku Emran

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira bersyukur dengan berita pernikahan bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 42, malah gembira apabila anak tunggal mereka, Engku Alessya kembali dibesarkan dalam keluarga yang sempurna.

Erra berkata, selepas berpisah lebih tiga tahun lalu, dia sentiasa berdoa supaya bekas suaminya dipertemukan dengan wanita terbaik yang dapat menerima Aleesya dan kehadiran Bella menjawab segala doanya selama ini.

“Seikhlas hati, saya bersyukur apabila mereka bertemu jodoh. Ketika Emran menyatakan hasrat untuk menikahi Bella, saya berlapang dada kerana doa saya selama ini dimakbulkan Allah. Saya pernah bertemu Bella dan dia mudah didekati serta sangat lemah-lembut.

“Melihat kemesraan Bella dan Aleesya, saya yakin bekas suami membuat pilihan yang tepat. Saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Emran dan Bella serta berharap pernikahan mereka dilimpahi kasih sayang dan keberkatan,” katanya.

Emran dan Bella yang mencipta populariti menerusi deretan filem seperti Bukan Bintang Biasa, Di Bawah Lindungan Ka’abah dan Surga Yang Tak Dirindukan selamat diijabkabulkan pada jam 6.57 petang semalam dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota.

Erra Fazira bersyukur dengan berita per-nikahan bekas suaminya malah gembira apabila anak tunggal mereka, Engku Alessya kembali dibesarkan dalam keluarga yang sempurna.

Pasangan itu dinikahkan bapa Bella, Busye Amir dengan mas kahwin RM300. Dengan sekali lafaz, pasangan yang diperkenalkan oleh pelakon Nora Danish itu selamat disatukan sebagai suami isteri.

Erra berkata, biarpun bekas suaminya sudah kembali bertemu jodoh, kebahagiaan Aleesya tetap menjadi keutamaan mereka. Dalam apa juga hal, dia dan Emran akan sentiasa mendahulukan perasaan anak yang sedang belajar mengenali erti hidup itu.

“Saya lihat Aleesya tidak janggal setiap kali berada di sisi Bella. Setiap kali Bella ke Kuala Lumpur, Aleesya sentiasa teruja untuk bertemunya. Melihat dia tersenyum, saya bersyukur kerana saya tidak mahu ada jurang antara Aleesya dan Bella.

“Tiada yang lebih bermakna kecuali melihat Aleesya kembali membesar dalam sebuah keluarga yang sempurna,” katanya.

Erra dan Emran mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 tetapi berpisah pada 18 Februari 2014.

Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.