Espanyol ikat Barca, Atletico ke persada liga

Espanyol ikat Barca, Atletico ke persada liga

MADRID, 3 Jan (AFP) – Barcelona kehilangan mata lagi buat kali ketiga dalam empat perlawanan liga apabila diikat 0-0 oleh lawan, Espanyol dalam pertemuan penting La Liga Sepanyol, awal pagi tadi.

Atletico Madrid kini mengatasi Barca dengan dua mata di persada liga, dengan tambahan satu perlawanan, hasil jaringan pemain gantian Thomas Partey yang menjaring gol lewat menentang Levante untuk menang 1-0.

Real Madrid kini mengekori Atletico dengan lima mata menjelang kunjungan ke Valencia, awal pagi esok.

Lionel Messi dan Luis Suarez bekerja keras buat Barcelona tetapi Espanyol yang menggunakan pendekatan fizikal berjaya memperoleh mata pertama mereka menentang Barca daripada lapan perlawanan.

Messi dikawal rapi oleh pertahanan Espanyol. - Reuters
Messi dikawal rapi oleh pertahanan Espanyol. – Reuters

“Keputusan ini adalah adil berbanding apa yang kedua-dua pasukan cipta, biarpun saya rasakan kami mempunyai banyak peluang,” kata bos Barca, Luis Enrique.

Espanyol melakukan 22 kekasaran walaupun pengadil, Jose Luis Gonzalez bersikap lebih lembut tetapi Luis Enrique enggan menyalahkan pengadil.

“Bola sepak adalah sukan yang mempunyai sentuhan fizikal,” katanya.

“Ini adalah mengapa kami mempunyai pengadil yang mengawal perlawanan.”

ARTIKEL YANG SAMA