ESSCom akan terima 92 bot secara berperingkat

ESSCom akan terima 92 bot secara berperingkat

SEMPORNA, 4 Okt (Bernama) – Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCom) akan menerima sebanyak 92 bot pelbagai guna untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata, bot berkenaan termasuk bot pemintas, utiliti dan tempur itu akan ditempatkan di ESSCom secara berperingkat.

“Selain penambahan aset logistik itu, kerajaan juga bercadang menambah kekuatan anggota di ESSCom yang diyakini mampu mempertingkatkan lagi keupayaan ESSCom dalam menggalas tanggungjawab menjaga keselamatan di ESSZone.

“Kelulusan penambahan aset berkenaan menunjukkan Perdana Menteri dan juga kerajaan sangat serius dalam usaha memastikan keadaan keselamatan di Sabah, khususnya di ESSZone terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke beberapa tempat di ESSZone termasuk pos kawalan di sekitar Lahad Datu dan Semporna.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya bersama-sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat, Nur Jazlan berkata ia bertujuan meninjau dan menilai serta mengenal pasti keperluan anggota keselamatan yang bertugas di ESSzone.

“Kita mahu pastikan sebarang keperluan semasa ESSCom dalam menjalankan agar mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan seperti penambahan balai polis di Karakit dan Pulau Bum Bum, penambahan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) serta kemudahan kuarters pegawai dan kakitangan agensi berkenaan,” katanya.

Katanya, hasil lawatan dan tinjauan penilaian berkenaan akan diselaraskan dan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk diperhalusi serta mendapat pertimbangan sewajarnya dari kerajaan.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai keadaan Thien Nyuk Fun dan Bernard Then Ted Fen, dua mangsa yang diculik di Sandakan pada Mei lalu, Nur Jazlan berkata kedua kedua-kedua mangsa culik dilaporkan dalam keadaan selamat.

“Usaha untuk membebaskan kedua-dua mangsa sedang giat dijalankan dan apa yang penting mereka masih selamat,” katanya.