Esscom berdepan ‘musuh dalam selimut’

Esscom berdepan ‘musuh dalam selimut’

BELURAN, 23 Jun (Bernama) – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang ditubuhkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, dua tahun lepas kini berdepan ‘musuh dalam selimut’ dalam usaha mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Ketua Staf Siasatan Khas dan Teknikal Esscom SAC Rosli Mohd Isa berkata bagi mengatasi ancaman itu, kerjasama dan sokongan semua pihak, terutama komuniti pesisir pantai Esszone amat penting, sekali gus memastikan kawasan itu sentiasa selamat, aman dan damai.

“Sebagai contoh kes penculikan di Restoran Ocean King di Sandakan baru-baru ini…tidak mungkin penjenayah datang terus dari negara jiran, tahu bila mahu masuk dan keluar dari perairan Sandakan dengan selamat dan tahu sasaran termasuk individu yang bakal diculik.

“Penjenayah ini kelihatan serba mengetahui kerana ada orang dalam yang memberi maklumat. Inilah cabaran kita…musuh dalam selimut. Tali barut ini yang dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) ada di mana-mana dalam kalangan kita terutama di perairan Esszone,” katanya ketika menyampaikan ceramah keselamatan pada majlis berbuka puasa anjuran Esscom di Masjid Nurhidayah Kampung Kolapis, dekat sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Rosli meminta komuniti Esszone supaya segera melaporkan kehadiran PATI atau individu meragukan di kampung masing-masing bagi membolehkan pihak keselamatan bertindak awal mengekang jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan.

“Walaupun Esscom sudah berkali-kali merayu orang ramai, termasuk ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung supaya melaporkan kehadiran PATI di kawasan masing-masing, namun masih ramai yang tidak berbuat demikian.

“Apabila pihak keselamatan melancarkan operasi memburu PATI, ramai yang ditangkap tetapi tidak dilaporkan seperti yang diminta. Jadi, sempena bulan puasa yang mulia ini, bantulah dan salurkan maklumat kepada Esscom…mungkin ada di kalangan PATI ini menjadi tali barut penculik dari negara jiran. Soal keselamatan tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Beliau turut menyeru penduduk pesisir pantai, termasuk di daerah Beluran supaya sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana ‘kita tidak tahu bila penjenayah rentas sempadan ini bergerak melakukan jenayah penculikan yang didalangi orang dalam’.