ESSCom patahkan 9 cubaan culik

ESSCom patahkan 9 cubaan culik

SEMPORNA, 18 Okt – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berjaya mematahkan sembilan cubaan menculik untuk tebusan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), sejak perintah berkurung dilaksanakan Julai tahun lepas.

Ketua Staf Pusat Operasi ESSCom Datuk Md Rahim Mohamad berkata kumpulan penculik itu menyasarkan kumpulan pelancong yang sedang melakukan aktiviti menyelam di kawasan tertentu.

Beliau berkata kejayaan mematahkan cubaan culik itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk pengusaha resort di ESSZone.

“Oleh itu kita berharap agar kerjasama seumpama ini dapat diteruskan. Selain itu kita meminta agar semua pengusaha resort supaya mematuhi segala nasihat dan panduan yang diberikan oleh ESSCom, khususnya dari segi menguruskan pelancong yang melakukan aktiviti menyelam di kawasan yang berisiko,” katanya.

Md Rahim berkata demikian pada taklimat keselamatan kepada pengusaha resort di Balai Polis Pulau Mabul, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Komander merangkap Ketua Staf tadbir dan Logistik ESSCom Brig. Jen. Dr Mohd Kenali Basiron, Ketua Staf Penguatkuasaan Maritim Laksma M. Karunanithi, Ketua Staf Perisikan SAC Ahamad Zufahmi, Ketua Staf Pasukan Khas SAC Mohamad Ismail dan Pengarah Bahagian Tindakan Awam ESSCom Rohiman Rahia.

Sementara itu, Md Rahim berkata ESSCom mengenal pasti beberapa langkah dan kaedah penambahbaikan yang perlu dipatuhi oleh pengusaha resort bagi memantapkan lagi tahap keselamatan pelancong di kawasan ESSZone termasuk memastikan agar kru bot yang dilantik telah menjalani serta melepasi tapisan keselamatan khas di balai polis berhampiran. – Bernama