Esscom sedia bantu SESB tangani masalah pendawaian haram

Esscom sedia bantu SESB tangani masalah pendawaian haram

LAHAD DATU, 22 Julai – Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sedia membantu dan bekerjasama dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta agensi penguat kuasa lain bagi menangani masalah penyambungan bekalan elektrik haram di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Ruji Ubi berkata pihaknya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan, terutamanya daripada segi kawalan keselamatan semasa operasi mengesan penyambungan elektrik haram dijalankan.

“Esscom tidak lari daripada tanggungjawab membantu rakyat dalam apa jua perkara yang diperlukan, sebelum ini, SESB juga dijemput menyertai operasi bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin yang dilaksanakan di enam daerah Esszone,” katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Isnin lepas, seorang pegawai bomba, Apolos Jeromos, 25, terkorban akibat renjatan elektrik disebabkan penyambungan haram ketika terlibat dalam operasi memadam kebakaran api belukar di Taman Kenari, Batu 7, Sandakan.

Pendawaian haram itu dipercayai untuk kegunaan sekelompok rumah setinggan terpencil sekitar belukar itu. – Bernama