ESSCom siasat kes tembak anggota keselamatan

ESSCom siasat kes tembak anggota keselamatan

KOTA KINABALU, 2 Julai (Bernama) – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sedang menyiasat kes yang membabitkan pihak tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah anggota Pasukan Gerakan AM (PGA) di sebuah pos kawalan di perairan Pulau Pom Pom, Semporna pada Selasa lepas.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata pihaknya masih belum mengenal pasti individu terbabit.

“Suspek terlebih dahulu melepaskan dua das tembakan ke arah pasukan keselamatan kita. Kita tidak mengetahui siapa dan apa niat mereka.

“Tetapi mungkin niat tidak baik. Kenapa mereka harus menembak pasukan keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini. Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, anggota di sebuah pos kawalan pada mulanya dilaporkan mendengar bunyi enjin bot menghampiri pulau itu dan apabila anggota PGA menyuluh ke arah bot berkenaan, mereka mendengar dua das tembakan dilepaskan ke arah mereka.

Ia mendorong pihak PGA membalas tembakan yang membuatkan pihak berkenaan melarikan diri dalam gelap.

Jarak bot suspek dengan pos kawalan PGA ialah antara 200 hingga 300 meter.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer berkata pihaknya juga menyiasat kejadian itu.

“Kita akan membuka kertas siasatan,” katanya.