Estadio da Luz hantui Simeone

Estadio da Luz hantui Simeone

LISBON, 8 Dis – Perasaan bercampur baur menyelubungi pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone apabila pasukan kendaliannya berdepan Benfica dalam aksi terakhir Kumpulan C Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Begitupun, dia tidak akan membenarkan perkara itu menjejaskan tumpuannya dalam menghadapi aksi penentuan juara kumpulan selepas kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tiket ke peringkat 16 terakhir.

Atletico kali terakhir beraksi di Estadio da Luz pada pertarungan final Liga Juara-Juara 2013-14 apabila mereka mendahului 1-0 ke atas Real Madrid sebelum melepaskan gol penyamaan pada masa kecederaan dan tunduk mengejut 4-1 selepas masa tambahan.

Atletico dan Benfica yang kini terikat 10 mata sudah pasti enggan tewas untuk mengelak daripada bertemu pasukan elit Eropah dalam undian yang akan dijalankan pada 14 Disember ini.

“Realiti membawa anda kembali ke stadium di mana perkara penting berlaku,” Simeone memberitahu pemberita dalam majlis sidang media di ibu negara itu semalam.

“Ia membawa dua sisi berbeza, yang pertama ia adalah hebat untuk mara ke pentas final Liga Juara-Juara dan pada sisi satu lagi kecewa untuk tewas dalam aksi berkenaan,” tambah bekas kapten Argentina itu.

“Kadangkala perkara begini berlaku kepada anda dan anda perlu menghadapi jalan yang sama. Saya melihatnya sebagai satu perkara biasa dalam kehidupan.”

Pada pertemuan Oktober lalu, Benfica bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Atletico 2-1 di Stadium Vicente Calderon untuk memberi kekalahan kedua mereka sepanjang 25 perlawanan di laman sendiri.

Mereka tidak pernah kecundang dalam semua pertandingan sejak itu, mencatat sembilan kemenangan dan tiga seri termasuk menewaskan Granada 2-0 hujung minggu lalu hasil jaringan Diego Godin dan Antoine Griezmann. – Reuters