Estrada hadiri perarakan Perang Dunia II China

Estrada hadiri perarakan Perang Dunia II China

MANILA, 31 Ogos (AFP) – Bekas presiden Filipina, Joseph Estrada akan menghadiri perarakan tentera terbesar China minggu ini yang meraikan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia II biarpun ketegangan wilayah di antara Manila dan Beijing, kata jurucakapnya hari ini.

Bagaimana pun bekas pemimpin itu akan menghadirinya dalam kapasitinya sebagai datuk bandar Manila dan bukan sebagai wakil kerajaan, kata ketua hal ehwal media, Diego Cagahastian.

“Dia akan pergi sebagai tetamu jemputan. Manila bandar kembar Beijing dan dia akan pergi sebagai datuk bandar Manila,” Cagahastian memberitahu AFP.

Estrada, bekas bintang filem yang dilantik menjadi presiden pada 1998 tetapi digulingkan dalam satu pemberontakan pada 2001, akan berlepas menuju China hari ini dan kembali pada 6 September, tambahnya.

Jurucakap kerajaan tidak berkata jika ada pegawai-pegawai kanan akan mewakili negara itu pada perarakan itu walaupun China dan Filipina adalah antagonis Jepun ketika Perang Dunia II.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, ketegangan di antara kedua-dua buah negara menjadi tegang terhadap konflik mereka bagi menuntut sebahagian dari Laut China Selatan.

Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam juga adalah pihak yang menuntut.

Manila begitu lantang menentang China, secara terbuka menuduhnya “membuli” untuk menekankan tuntutannya terhadap maritim dan memfailkan kes di depan tribunal antarabangsa di The Hague, mencabar kedudukan China.

Estrada, yang disabitkan dengan rasuah besar pada 2007 tetapi kemudian diberikan pengampunan, mengambil langkah berdamai bersama China.

Dalam temu bual baru-baru ini, Estrada yang dipetik sebagai berkata dia berharap China akan membantu dalam pemodenan Filipina dan hubungan tersebut akan meningkat tidak lama lagi.

Selepas pengampunannya, Estrada dilantik menjadi datuk bandar Manila pada 2012.

ARTIKEL YANG SAMA