Etau landa Jepun

Etau landa Jepun

TOKYO, 9 Sept – Taufan Etau melanda Jepun hari ini, mengakibatkan beberapa kecederaan ketika hujan lebat dan berlakunya tanah runtuh serta banjir dengan lebih daripada setengah juta orang dinasihatkan untuk berpindah, termasuk di pinggir bandar Tokyo.

Perkhidmatan kereta api dan udara juga terjejas selepas taufan yang membawa angin kencang sehingga 124kmsj, mendarat di wilayah tengah Aichi sejurus selepas 10 malam waktu tempatan.

Rakaman televisyen menunjukkan kereta meredah air di jalan-jalan yang dibanjiri dan rumah-rumah ditenggelami ketika pejalan kaki melalui air yang mencecah lutut.

Beberapa kawasan putus bekalan kuasa dan sebahagian Tokyo dibanjiri air ketika pihak berkuasa menasihatkan kira-kira 900,000 orang di ibu negara dan bahagian lain negara untuk meninggalkan kediaman mereka kerana risiko tanah runtuh, syarikat penyiar awam NHK melaporkan.

Media tempatan mengatakan lebih daripada berpuluh-puluh orang cedera, termasuk seorang wanita berusia 77 tahun yang patah kakinya kerana jatuh semasa angin kencang.

Taufan juga menjejaskan lalu lintas udara, dengan sekurang-kurangnya 35 penerbangan dibatalkan oleh Japan Airlines, All Nippon Airways dan syarikat penerbangan bajet lainnya, menurut NHK, manakala beberapa perkhidmatan kereta api juga ditangguhkan. –AFP

Ahli perniagaan berjalan sambil memegang payung ketika hujan lebat akibat taufan Etau melanda daerah perniagaan Tokyo, 9 September.  –Reuters
Ahli perniagaan berjalan sambil memegang payung ketika hujan lebat akibat taufan Etau melanda daerah perniagaan Tokyo, 9 September. –Reuters

ARTIKEL YANG SAMA