Etnik Habsyah antiperkauman bantah lagi

Etnik Habsyah antiperkauman bantah lagi

TEL AVIV, 4 Jun (Reuters) – Polis Israel berhempas pulas untuk mengusir beratus-ratus pembantah antiperkauman dari etnik Habsyah semalam di Tel Aviv, yang menyaksikan para pembantah terbabit cuba untuk menghalang laluan utama jalan raya.

Polis berkata dua orang pembantah dari kira-kira 400 orang yang mengambil bahagian dalam bantahan itu diberkas di tempat kejadian.

Jurukamera televisyen pula berkata mereka melihat lima orang pembantah diberkas pihak berkuasa lalu dibawa keluar dari kawasan tersebut.

Bagaimanapun tiada laporan mengenai sebarang kecederaan dalam bantahan yang berlarutan sehingga beberapa jam tersebut.

Pada bulan lepas Tel Aviv, bandar komersial Israel, menyaksikan demonstrasi paling ganas sejak beberapa tahun lepas apabila polis berkuda bertindak ke atas beratus-ratus pembantah untuk meleraikan mereka yang naik berang berhubung rakaman video menunjukkan anggota polis memukul seorang anggota tentera dari etnik Habsyah.

Pembantah etnik Habsyah yang antiperkauman bergelut dengan polis ketika berdemonstrasi di bahagian tengah Tel Aviv pada 3 Jun 2015. – AFP
Pembantah etnik Habsyah yang antiperkauman bergelut dengan polis ketika berdemonstrasi di bahagian tengah Tel Aviv pada 3 Jun 2015. – AFP

Demonstrasi yang terbaru diadakan untuk menekan bagi langkah segera ke atas anggota polis yang dituduh terbabit dalam serangan berkenaan.

“Polis yang ganas perlu dipenjarakan,” laung sebahagian pembantah.

Penganut Yahudi etnik Habsyah, adalah di antara beribu-ribu warga Israel yang diterbangkan dalam operasi dramatik dalam tahun 1980an dan 1990an, sudah lama mengadu mengenai diskriminasi di Israel.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebelum ini berjanji untuk menyelesaikan rungutan warga Israel keturunan etnik Habsyah yang kini berjumlah kira-kira 135,000 orang, dan sudah menamakan jawatankuasa kabinet untuk menambahbaikkan integrasi mereka.

ARTIKEL YANG SAMA