EU arah Estonia kembalikan 85j Euro

EU arah Estonia kembalikan 85j Euro

BRUSSELS, 8 Nov (AFP) – Kesatuan Eropah semalam mengarah syarikat penerbangan Estonia supaya membayar balik 85 juta euro yang telah diterimanya dalam bantuan negara, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai masa depan syarikat.

“Suruhanjaya Eropah telah memutuskan bahawa langkah-langkah bantuan yang diambil oleh Estonia yang menyokong syarikat penerbangan Estonia Air memberikan syarikat kelebihan berbanding pesaingnya yang mencabul peraturan bantuan negara EU,” kata cawangan eksekutif EU dalam satu kenyataan.

“Dengan itu Estonian Air perlu membayar balik bantuan negara yang telahpun diterimanya, yang menurut maklumat Suruhanjaya berjumlah kira-kira EUR85 juta campur faedah, dan tidak boleh menerima EUR40 juta tambahan untuk bantuan penyusunan semula,” tambahnya.

Syarikat penerbangan negara Baltik itu telah bergelut dengan masalah kewangan sejak 2006, kata Suruhanjaya, menambah syarikat itu tidak harus bergantung pada wang awam untuk bertahan.

“Estonian Air telah berkali-kali menerima subsidi awam dalam tempoh lima tahun lalu tetapi tidak melaksanakan penyusunan semula yang diperlukan untuk menjadi berdaya maju sebagai satu perniagaan,” kata Pesuruhjaya Margrethe Vestager, yang bertanggungjawab terhadap dasar persaingan.

“Adalah sia-sia untuk menggunakan wang pembayar cukai untuk mengekalkan Estonian Air dalam pasaran, dan ia tidak adil kepada pesaing, yang terpaksa bersaing tanpa bantuan sedemikian.”

Suruhanjaya, yang telah menyiasat beberapa syarikat penerbangan Eropah lain, sebelum ini juga telah mengarah Cyprus Airways dan Malev di Hungary supaya membayar balik pakej bantuan yang dianggap sah.

Kedua-dua syarikat penerbangan ditutup selepas itu.