EU bakal adakan mesyuarat tangani telur tercemar

BRUSSELS, 11 Ogos – Kesatuan Eropah (EU) akan mengadakan mesyuarat tergempar menteri-menteri berhubung telur yang dicemari racun serangga, kata Pesuruhjaya Kesihatan Eropah Vytenis Andriukaitis hari ini, merayu “sikap menyalah dan memalukan” skandal tersebut dihentikan.

Andriukaitis memberitahu AFP beliau mahu Belanda, Belgium dan Jerman menghentikan tuduhan mengenai siapa yang bertanggungjawab atas skandal tersebut, yang membabitkan fipronil, sejenis bahan kimia yang menjejas kesihatan manusia.

“Sikap menyalah dan memalukan tidak akan membantu kami dan saya mahu ia dihentikan,” kata pesuruhjaya Lithuania itu, yang juga mengendali isu keselamatan makanan, dalam respons kepada soalan yang dihantar menerusi e-mel.

“Namun perkara pertama terlebih dahulu. Tugas dan keutamaan kami sekarang adalah mengendali situasi, mengumpul maklumat, menumpu pada analisis dan pengajaran yang dipelajari dengan tujuan untuk mempertingkat sistem kami dan menghalang kegiatan jenayah,” kata Andriukaitis.

Telur-telur yang disyaki tercemar dimusnahkan di sebuah ladang ternakan ayam di Perancis. – AFP
Telur-telur yang disyaki tercemar dimusnahkan di sebuah ladang ternakan ayam di Perancis. – AFP

Beliau menambah: “Ia adalah apa yang telah saya bincangkan dengan menteri Jerman, Belgium dan Belanda pada minggu ini. Saya bercadang untuk mengadakan mesyuarat peringkat tinggi yang mengumpul menteri-menteri terbabit serta wakil agensi keselamatan makanan di semua negara anggota yang terbabit sebaik sahaja kami mempunyai kesemua fakta yang diperlukan.”

Telur tercemar telah pun ditemui di sekurang-kurangnya 11 negara sejak krisis tersebut disiarkan pada 1 Ogos, dengan berjuta-juta telur dan produk berasaskan telur dikeluarkan daripada rak pasar raya.

Denmark adalah negara terbaru yang berkata ia telah terjejas, mengumumkan 20 tan telur tercemar yang diimport daripada pembekal Belgium telah dijual di sana. – AFP