EU bantu mangsa banjir di Laos

EU bantu mangsa banjir di Laos

VIENTIANE, 10 Okt – Kesatuan Eropah telah mengeluarkan lebih 82,000 euro bagi pembiayaan kemanusiaan untuk membantu masyarakat yang paling teruk terjejas dilanda banjir sejak Ogos di Laos.

Bantuan itu secara langsung akan memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 orang penerima yang terjejas teruk dilanda banjir di barat laut Laos, wilayah Oudomxay, menurut laporan agensi berita negeri Laos, KPL, hari ini.

Pembiayaan EU ini juga akan membantu Palang Merah Laos dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan dengan menyediakan makanan dan barangan, termasuk nasi, mi, ikan dalam tin, selimut dan kelambu.

Di samping itu, sesi latihan mengenai kebersihan juga dianjurkan bersama dengan penghantaran sabun dan kebersihan barangan, bagi memastikan amalan kebersihan yang baik dalam isi rumah yang terjejas.

Laos dilanda hujan lebat pada pertengahan Ogos apabila musim monsun tahunan mencapai kemuncaknya. Keadaan lebih teruk apabila ribut tropika Dianmu membawa lebih banyak hujan kepada negara itu, dimana mangsa-mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat dan tanah pertanian ditenggelami air. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA