EU ‘bimbang’ rakyat Sweden ditahan Beijing

EU ‘bimbang’ rakyat Sweden ditahan Beijing

BEIJING, 20 Jan – Duta Kesatuan Eropah (EU) ke China berkata hari ini ia mempunyai ‘kebimbangan besar’ mengenai penahanan rakyat EU oleh Beijing, beberapa jam selepas media negeri menyiarkan pengakuan seorang aktivis Sweden yang ditahan oleh pihak berkuasa.

Peter Dahlin, yang bekerja untuk Kumpulan Kerja Tindakan Penting China, hilang pada awal bulan ini ketika beliau bersedia untuk menaiki sebuah kapal terbang ke Thailand, dan nampaknya telah terbabit dalam tindakan keras ke atas peguam hak asasi manusia.

Lewat semalam, penyiar negeri Televisyen Tengah China, menunjukkan satu video beliau mengaku beliau telah “mencabul undang-undang China menerusi aktiviti saya di sini.”

Dalam nada kaku dan kekok, beliau mengisytiharkan: “Saya telah menyakiti rakyat China. Saya meminta maaf.”

Kumpulan Dahlin berkata ia menawarkan latihan kepada peguam hak asasi manusia yang cuba menggunakan badan kehakiman yang dikawal ketat di China untuk mengatasi penyalahgunaan kerajaan.

“Saya tidak mempunyai sebarang aduan,” warga Sweden itu disiarkan sebagai berkata. “Saya fikir layanan saya adalah adil.”

Dua rakan sekerja Dahlin warga China juga disiarkan mengakui kesalahan mereka.

Di China, tersangka jenayah profil tinggi sering diarak di televisyen untuk mengaku perbuatan mereka, dalam apa yang dikatakan oleh peguam hak asasi sebagai satu pencabulan prosedur jenayah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA