EU desak Turki tangani penghijrah

EU desak Turki tangani penghijrah

BRUSSELS, 6 Mac (AFP) – Para pemimpin Eropah akan mendesak Turki pada satu sidang kemuncak mesyuarat esok (Isnin) untuk bersetuju dengan pengusiran ‘besar-besaran’ penghijrah ekonomi dari Greece, ketika ketua EU Donald Tusk berkata dia melihat bayangan pertama resolusi kepada krisis penghijrah.

Dengan peningkatan baru yang dijangkakan dalam cuaca musim bunga yang lebih hangat, 28 orang pemimpin Kesatuan Eropah banyak menaruh harapan bagi pengurangan keadaan kelam kabut pada komitmen baru Perdana Menteri Ahmet Davutoglu.

EU akan mendesak Ankara dengan drastik mengurangkan pengaliran besar penghijrah ke Eropah, kerana Turki menjadi landas pelancaran bagi kebanyakan dari lebih sejuta orang pelarian dan penghijrah yang datang ke benua itu sejak awal 2015.

Semalam, Pesuruhjaya Penghijrahan Eropah Dimitris Avrampoulos berkata Greece – telah pun berdepan dengan pertambahan 30,000 penghijrah – dijangka menerima ‘100,000 orang lagi’ menjelang akhir Mac.

Tetapi ketegangan yang berterusan meningkat apabila polis Turki merampas surat khabar pembangkang pada hujung minggu dan Brussels memberi amaran kepada Ankara ia mesti menghormati kebebasan media dalam usahanya selama sedekad bagi keanggotaan Eropah – juga topik dalam rundingan penghijrah.

Tusk, presiden Majlis Eropah dan juga tuan rumah sidang mesyuarat berkata dalam surat jemputannya bahawa kejayaan bergantung sebahagian besarnya pada memperoleh persetujuan Turki pada mesyuarat itu bagi membenarkan semula ‘kemasukan secara besar-besaran penghijrah ekonomi dari Greece yang tidak layak sebagai orang pelarian.

“Ia akan dengan berkesan menghentikan model niaga para penyeludup.” Tusk berkata apabila dia juga membangkitkan idea itu pada Khamis lalu di Ankara dengan Davutoglu.

Brussels sementara itu mendedahkan rancangan bagi menyelamatkan zon Schengen yang bebas pasport yang telah menjadi berbahaya akibat beberapa negara yang menutup sempadan mereka untuk menghentikan kemasukan ramai orang dari Syria dan tempat lain.

“Buat pertama kali sejak bermulanya krisis penghijrahan, saya melihat kemunculan kesepakatan Eropah,” Tusk berkata dalam suratnya.

Selepas jamuan makan tengah hari dengan Davutoglu di Brussels, para pemimpin EU akan bertemu sesama sendiri.