EU harap ASEAN keluar kenyataan tangani perubahan iklim

EU harap ASEAN keluar kenyataan tangani perubahan iklim

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) – Kesatuan Eropah (EU) berharap ASEAN akan mengeluarkan kenyataan bersama yang konkrit mengenai alam sekitar dan pembangunan mampan semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 di sini, sebelum berlangsung Persidangan Pihak-Pihak (COP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu badan pembuat keputusan tertinggi Konvensyen Kerangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim, pada akhir bulan ini.

Perkara ini dinyatakan Duta EU ke Malaysia, Luc Vandebon yang berkata kenyataan itu secara keseluruhan perlu membuktikan komitmen ASEAN ke arah menangani perubahan iklim, demi generasi masa depan di rantau ini dan dunia.

“Bagi kebanyakan negara ASEAN dan rakannya, perdagangan adalah keutamaan mutlak diikuti oleh keselamatan.

Suasana ketika sesi dialog pemimpin pelabur global sedang berlangsung bersempena Sidang kemuncak ASEAN Ke-27 di Kuala Lumpur. – Bernama
Suasana ketika sesi dialog pemimpin pelabur global sedang berlangsung bersempena Sidang kemuncak ASEAN Ke-27 di Kuala Lumpur. – Bernama

“Namun saya dapati bahawa sekiranya kita tidak bekerjasama ke arah pembangunan mampan dan menangani perubahan iklim, akhirnya kamu tidak ada apa lagi yang hendak didagangkan,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Edisi ke-21 COP akan diadakan di Paris dari 30 Nov hingga 11 Dis.

Vandebon berkata EU sentiasa komited dalam menangani perubahan iklim dan hasilnya masyarakat EU sentiasa peka dengan apa yang mereka guna dan makan.

“Saya fikir semakin banyak perhatian yang diberikan kepada aspek alam sekitar dan pembangunan mampan dalam ASEAN. Begitu juga dengan peniagaan,” tambahnya.

Sementara itu beliau mengalu-alukan cadangan kerajaan Malaysia untuk memansuhkan hukuman mati mandatori ke atas sesetengah jenayah serius terutama berkaitan kesalahan dadah dan memiliki senjata api.

ARTIKEL YANG SAMA