EU perketat sistem pemeriksaan

EU perketat sistem pemeriksaan

BRUSSELS, 20 Nov (AFP) – Kesatuan Eropah (EU) hari ini akan mengetatkan pemeriksaan ke atas semua pelancong termasuklah warganegaranya sendiri, di sempadan luar zon Schengen yang kemasukannya tanpa menggunakan pasport, ekoran serangan di Paris, menurut para pegawai.

Tetapi pada mesyuarat tergempar di Brussels, Perancis akan menggesa bagi pemeriksaan sistematik bagi tempoh lebih panjang yang akan memerlukan perubahan kod sempadan Schengen dan dengan itu perlukan perjanjian politik lebih meluas.

Keputusan bagi pemeriksaan jangka pendek yang lebih ketat akan diambil pada mesyuarat krisis hari ini yang diminta oleh Perancis selepas serangan berani mati dan serangan senjata api yang mana 129 orang terbunuh, menurut para pegawai.

Para menteri akan ‘dengan serta-merta melaksanakan pemeriksaan yang diselaraskan dan bersistematik yang perlu di sempadan luar, termasuklah ke atas individu-individu yang menikmati hak pergerakan bebas,’ menurut draf yang diperolehi AFP.

Schengen diletakkan di bawah pengawasan rapi ekoran pendedahan bahawa sebilangan penyerang datang dari Paris dan Abdelhamid Abaadoud yang dikatakan ketua kumpulan mungkin pulang dari berperang bersama IS di Syria untuk menyertai serangan itu.

Menteri-menteri Dalam Negeri dan Keadilan Eropah menghadiri mesyuarat berikutan serangan di Paris, di Majlis Eropah di Brussels semalam. – AFP
Menteri-menteri Dalam Negeri dan Keadilan Eropah menghadiri mesyuarat berikutan serangan di Paris, di Majlis Eropah di Brussels semalam. – AFP

Kebanyakan warga EU boleh membuat perjalanan tanpa menggunakan pasport di zon Schengen di 22 buah negara EU, serta negara bukan dari EU, Norway, Switzerland, Iceland dan Liechtenstein.

Para pegawai EU berkata pasport para pelancong tidak akan diperiksa tetapi maklumat peribadi mereka diperiksa dengan pangkalan data.

“Kami boleh lakukannya kini, bagi tempoh sebulan, bagi tempoh setahun, di laluan khas,” menurut sumber EU.

Suruhanjaya Eropah, anggota eksekutif EU yang mempunyai 28 negara, menegaskan fleksibiliti mencukupi wujud dalam peraturan Schengen masa ini untuk memberikan keselamatan sempadan yang mencukupi, tetapi berkata ia bersedia untuk membincangkan cadangan Perancis.

Perancis juga menggesa EU menyetujui sistem Rekod Nama Penumpang gaya AS (PNR) yang melibatkan pengambilan data penumpang EU menjelang akhir tahun ini.

Rancangan ini berkontroversi di Eropah disebabkan kebimbangan untuk melindungi maklumat peribadi sementara memerangi keganasan dan jenayah serius. Rundingan akan juga menumpu pada persoalan keselamatan senjata api dan pengukuhan kawalan di sempadan luar.