EU senarai hitam 17 menteri Syria

EU senarai hitam 17 menteri Syria

BRUSSELS, 15 Nov – Kesatuan Eropah (EU) semalam menyenarai hitam 17 menteri Syria termasuk gabenor bank pusat dalam rejim Presiden Bashar al-Assad, berikutan rekod kekejaman mereka kerana melakukan serangan terhadap orang awam.

Mereka berdepan larangan perjalanan dan pembekuan aset kerana ‘bertanggungjawab atas penindasan, keganasan ke atas orang awam di Syria selain mendapat manfaat dengan menyokong rejim Assad, menurut EU dalam satu kenyataan.

Pemimpin EU bersetuju dalam satu sidang kemuncak Oktober lalu untuk meningkatkan sekatan ke atas rejim Assad, susulan serangan yang memusnahkan di Aleppo.

Namun, cadangan untuk menyekat Russia yang sekian lama menyokong Assad, tidak diteruskan kerana perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin EU.

Keputusan itu membawa kepada lebih daripada 230 bilangan individu Syria terpukul dengan larangan perjalanan atau pembekuan aset, katanya.

69 entiti lainnya juga terlibat dengan pembekuan aset manakala EU juga telah melaksanakan sekatan lain terhadap Syria secara keseluruhan, termasuk senjata dan sekatan minyak ditambah dengan sekatan pelaburan. – AFP