EU, Turki akan adakan sidang istimewa pada Mac

EU, Turki akan adakan sidang istimewa pada Mac

BRUSSELS, 19 Feb (AFP) – Kesatuan Eropah (EU) dan Turki akan mengadakan sidang kemuncak khas pada awal Mac untuk melaksanakan satu perjanjian untuk membendung krisis penghijrahan, kata Presiden Majlis Eropah Donald Tusk pada hari ini.

Pemimpin EU yang bertemu di Brussels juga sebulat suara menentang “tindakan satu pihak” oleh negara anggota selepas Austria berkata ia akan mengehadkan jumlah tuntutan pencari perlindungan.

“Kami bersetuju bahawa pelan tindakan bersama kami dengan Turki masih menjadi satu dasar utama dan kami mesti melakukan seberapa daya untuk berjaya,” beritahu Tusk pada satu persidangan akhbar selepas hari pertama sidang kemuncak Kesatuan Eropah di Brussels.

“Inilah sebabnya kami mempunyai niat untuk menganjurkan mesyuarat khas dengan Turki pada awal Mac,” kata Tusk tanpa mengulas lanjut.

Canselor Angela Merkel dari Jerman, negara EU yang menerima paling ramai pelarian pada tahun lalu seramai lebih satu juta berkata sidang kemuncak khas dengan Turki mungkin diadakan pada 5 atau 7 Mac.

Pelarian yang diselamatkan oleh tentera dari laut tiba di Greece. – AFP
Pelarian yang diselamatkan oleh tentera dari laut tiba di Greece. – AFP

Beliau berkata EU “mesti melihat sama ada langkah-langkah berjaya” di bawah pelan yang dipersetujui pada satu lagi sidang kemuncak EU-Turki pada November, di mana Turki bersetuju untuk mengurangkan aliran penghijrah sebagai tukaran kepada bantuan berjumlah tiga bilion euro.

Tekanan untuk menguatkuasakan pelan semakin meningkat tatkala pegawai EU berkata beribu-ribu penghijrah masih menyeberangi Aegean setiap hari dari Turki selepas lebih satu juta orang memulakan perjalanan berbahaya pada tahun lalu, pergerakan terbesar dalam sejarah blok.

Satu mesyuarat pemimpin-pemimpin 11 negara EU dengan Turki telah dirancang sebelum sidang kemuncak penuh semalam tetapi dibatalkan selepas perdana menteri Turki Ahmet Davutoglu menarik diri ekoran satu serangan bom di Ankara.

Ketua Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker berkata pemimpin EU bersetuju “tidak adanya alternatif untuk kerjasama pintar dengan Turki.”

ARTIKEL YANG SAMA