Euro 2016 guna teknologi Hawk-Eye

Euro 2016 guna teknologi Hawk-Eye

LONDON, 20 April (Agensi) – Teknologi Hawk-Eye akan digunakan untuk menentukan sama ada bola melepasi garisan gol dalam Kejuaraan Eropah (Euro 2016) tahun ini, kata Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) semalam.

Sistem berasaskan kamera oleh sebuah syarikat berpangkalan dari Britain itu, yang digunakan dalam sukan tenis dan kriket serta di final Piala Dunia 2014, akan dipasang di dalam semua 10 stadium yang menjadi gelanggang kejohanan itu di Perancis nanti.

UEFA mengumumkan Januari lalu yang teknologi garisan gol akan dipasang untuk Euro 2016 dan kemudian Mac lalu menambah final Liga Juara-Juara di Milan serta final Liga Europa di Basel akan menggunakan sistem berkenaan.

Hawk-Eye, yang digunakan dalam Liga Perdana Inggeris dan Bundesliga, menjadi pilihan selepas beberapa sistem lain diuji.

Sistem berkenaan menggunakan tujuh kamera bagi mengesan pergerakan bola, dan memberi isyarat kepada pengadil menerusi alat getaran bagi mengesahkan gol atau tidak. Pengadil bagaimanapun akan tetap dibantu oleh pembantunya.

“Kini dengan teknologi memberi tumpuan kepada garisan gol, pembantu-pembantu boleh memberi tumpuan kepada insiden di dalam kotak penalti dan di atas padang,” kata ketua pengadil UEFA, Pierluigi Collina.

ARTIKEL YANG SAMA