Euro Classic pindah lokasi

Euro Classic pindah lokasi

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Euro Classic yang terkenal menjual barangan hadiah, produk haruman bilik dan jenama anak patung beruang Me 2 You, telah berpindah ke lokasi baru dengan di Bangunan Setia Kenangan II, Kiulap, di sini.

Pembukaan rasminya, hari ini, turut menyaksikan logo dan warna baru berikutan penjenamaan semula bagi permulaan tahun ini.

Euro Classic yang telah pun berada di negara ini selama 21 tahun dan kini memperkembangkan perniagaannya de-ngan mendatangkan perabot dan produk barangan baru dari United Kingdom (UK).

Ketika ditemui Media Permata, wakil Euro Classic, Olivia menjelaskan bahawa kedai tersebut bukan sahaja menumpukan kepada barangan haruman bilik dengan jenama yang sama sejak ia dibuka pada tahun 1994.

Euro Classic telah berpindah ke lokasi baru di Bangunan Setia Kenangan II, Kiulap.
Euro Classic telah berpindah ke lokasi baru di Bangunan Setia Kenangan II, Kiulap.
Euro Classic terkenal dengan barangan hadiah, produk haruman bilik dan jenama anak patung beruang Me 2 You.
Euro Classic terkenal dengan barangan hadiah, produk haruman bilik dan jenama anak patung beruang Me 2 You.

“Kini Euro Classic menawarkan lebih banyak pilihan bara-ngan hadiah untuk pelanggan berikan kepada yang tersayang, ditambah lagi dengan perabot yang didatangkan khas dari UK dan Perancis dengan kualiti yang dapat dipercayai keasliannya,” jelasnya.

Di lokasi barunya ini, Euro Classic kini memiliki dua tingkat kedai untuk dikunjungi dengan menyediakan pelbagai pilihan barangan dan produk yang kebanyakannya ditempah dari UK.

“Tingkat dua adalah bilik pameran perabot dan peralatan rumah (homeware) yang baru diperkenalkan di Euro Classic, tingkat satu pula menyediakan barangan aksesori barang perhiasan, patung-patung dan barangan jenama Me 2 You, hadiah-hadiah untuk pelbagai sambutan dan bermacam-macam lagi, manakala tingkat bawah pula menyediakan pelbagai barangan perhiasan rumah termasuk produk haruman rumah,” Olivia menjelaskan.

Dengan pelbagai pilihan produk dan barangan yang terdapat di Euro Classic itu, para pelanggan kini tidak perlu memikirkan barangan apa hendak dihadiahkan kepada rakan-rakan atau keluarga pada hari ulang tahun mereka ataupun pada mana-mana sambutan yang diperlukan. Olivia juga menambah bahawa barangan yang dijual di Euro Classic berkonsepkan kepada produk yang elegan, ada kelas dan mengutamakan keselesaan.

Bercakap mengenai penjenamaan semula logo mereka, Olivia berkata warna yang dipilih bagi logo (hijau kebiruan) bermula tahun ini lebih mencerminkan kemesraan dan mengalu-alukan.