EVA Air menempah lima 777 Freighter

EVA Air menempah lima 777 Freighter

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Boeing dan EVA Air memuktamadkan tempahan bagi lima pesawat pengangkut 777 Freighter bernilai lebih AS$1.5 bilion.

Ia merupakan kumpulan 777 Freighter pertama menyertai armada EVA Air dan yang pertama diserah kepada syarikat penerbangan Taiwan, kata Boeing yang mengumumkan hasrat syarikat penerbangan itu untuk menempah lima pesawat pengangkut berkenaan pada Pameran Udara Paris 2015, bulan lepas.

Sementara itu, Pengerusi EVA Air K.W. Chang berkata mereka bertekad menjadikan EVA sebagai syarikat penerbangan terbaik untuk perkhidmatan penumpang dan juga kargo.

“Perkhidmatan berkualiti dan keselamatan penerbangan adalah keutamaan kami di EVA dan kami mengguna pakai piawaian tinggi yang sama untuk perkhidmatan kargo,” katanya.

Syarikat penerbangan Taiwan itu merancang menggunakan pesawat pengangkut baharu tersebut bagi mempertingkat armada laluan Trans-Pasifik dan Asia untuk memenuhi keperluan yang bertambah dalam pasaran kargo udara.

p19-2_20150723

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pesawat Komersial Boeing, Ray Conner pula berkata mereka berbangga kerana EVA memilih 777 Freighter untuk mengekalkan kedudukan selaku antara syarikat penerbangan kargo terbesar.

“Tempahan ini mengesahkan keutuhan perkongsian jangka panjang antara EVA Air dan Boeing sejak beberapa dekad lalu,” kata Conner.

Pada masa ini EVA Air mengendalikan lebih daripada 35 pesawat Boeing termasuk 20 pesawat 777-300ERs. Menerusi tambahan 13 pesawat 777-300ERs yang dalam tempahan dibeli secara langsung dan pajakan EVA akan menjadi antara operator 777 terbesar di dunia. – Bernama