Eva Carneiro tinggalkan Chelsea

Eva Carneiro tinggalkan Chelsea

LONDON, 23 Sept (AFP) – Eva Carneiro, doktor pasukan Chelsea yang dikritik hebat oleh pengurus Jose Mourinho, sudah meninggalkan kelab itu, demikian lapor media Britain hari ini.

Carneiro dikeluarkan daripada tugasan sebagai doktor perlawanan bulan lalu selepas dia dan ahli fisioterapi, Jon Fearn dikecam oleh Mourinho kerana berlari memberi rawatan kepada Eden Hazard ketika Chelsea seri dengan Swansea City pada minggu pembukaan musim Liga Perdana Inggeris. Keadaan Hazard menyebabkan terpaksa keluar padang dan sekali gus menyaksikan Chelsea hanya sembilan pemain buat sementara.

Beberapa saluran media termasuk BBC, berkata Carneiro, 42, sudah meninggalkan Chelsea dan dia dijadual mengemukakan tuntutan ganti rugi kerana penyingkiran tidak adil. Chelsea bagaimanapun belum mengulas mengenai laporan berkenaan.

Minggu lalu laporan juga menyebut Mourinho mungkin berdepan dengan larangan lima perlawanan selepas orang awam membuat aduan bahawa pengurus Portugal itu menggunakan bahasa kasar dan berunsur seks terhadap Carneiro.

Susulan perlawanan dengan Swansea itu Mourinho berkata: “Saya tidak gembira dengan kakitangan perubatan saya. Mereka bertindak sendiri dan pandir.”

“Sama ada anda seorang doktor, pembantu atau setiausaha di tempat duduk pemain, anda perlu memahami perlawanan.”

ARTIKEL YANG SAMA