Evans kembali beraksi mantap

Evans kembali beraksi mantap

LONDON, 24 Julai – Bekas penyerang Wales, Ched Evans yang baru bebas selepas menghabiskan tempoh dua tahun di penjara atas kesalahan merogol, meledak gol dalam penampilan semulanya, semalam.

Evans membuktikan sentuhannya masih berbisa dengan membantu kelab divisyen tiga England, Chesterfield membenam kelab yang berada empat divisyen di bawah, Ilkeston 3-0 dalam aksi pra musim itu.

Selain menyumbat satu gol, penyerang berusia 27 tahun yang hanya diturunkan selama 59 minit itu, turut me-ngumpan jaringan pembukaan untuk pasukannya.

Aksi terakhirnya adalah untuk Sheffield United pada April 2012. Evans dikenakan hukuman penjara selama lima tahun pada 2012, sebelum dilepaskan pada 2014, kerana merogol seorang wanita berusia 19 tahun.

Mahkamah membatalkan hukuman ke atasnya pada April lalu.

Dia bagaimanapun, perlu dibicarakan sekali lagi kerana dituduh mengulangi perbuatan sama pada Oktober lalu dan mengaku tidak bersalah.

Penyerang itu menandatangani kontrak selama setahun dengan Chesterfield pada Jun lalu.

Pasukan yang terkenal dengan jolokan The Spireites kehilangan penaja hanya beberapa hari selepas menandatangani Evans gara-gara imej buruk penyerang yang pernah membuat 13 penampilan untuk Wales. – AFP