Evergrande um...

Evergrande umum henti ambil pemain asing

BEIJING, 15 Feb – Juara China Guangzhou Evergrande mengumumkan rancangan untuk menurunkan hanya skuad China pada 2020, kata pegawai media semalam dalam perubahan mengejut selepas beberapa tahun kejayaan hasil suntikan daripada pemain asing.

Evergrande memenangi Liga Super China enam musim yang lalu, termasuk Liga Juara-Juara AFC pada 2013 dan 2015, dengan kebanyakan bantuan dari kuasa Amerika Selatan dan pengurus terkemuka luar negara.

Evergrande, kadangkala digelar ‘Manchester United Asia’ yang dicontohi oleh pasukan China yang lain dengan perbelanjaan ke atas beberapa pemain meningkat sejak setahun lalu.

Tetapi bos kelab itu dan taikun hartanah, Xu Jiayin berkata dia bercadang untuk menghentikan ke semua pemain asing pada akhir dekad ini, menurut agensi berita Xinhua, China.

“Pada pandangan saya, skuad ideal China bagi Evergrande terdiri daripada pengurus terkemuka dunia dan semua pemain tempatan,” Xu yang dipetik sebagai berkata pada satu acara sebelum bermulanya musim persaingan China.

Tevez bergambar bersam jersi baru dan pengurus kelab semasa diperkenalkan pada 22 Januari lalu. – AFP
Tevez bergambar bersam jersi baru dan pengurus kelab semasa diperkenalkan pada 22 Januari lalu. – AFP

“Tujuan kami adalah untuk menyumbang kepada perkembangan bola sepak China dan semua tugasan perlu menumpukan kepada perkara ini.”

Ulasan Xu itu menyusul tindakan tegas ke atas perbelanjaan yang ‘tidak rasional’ selepas kelab-kelab dari China memecahkan rekod pertukaran Asia lima kali ganda dalam tempoh setahun dengan perpindahan merangkumi Oscar dan pemain yang menerima bayaran tertinggi dunia, Carlos Tevez.

Pihak berkuasa China berkata mereka akan mengawal bayaran pertukaran dan gaji, sementara mengurangkan jumlah pemain asing setiap pasukan yang boleh digunakan dari empat pemain setiap perlawanan kepada tiga pemain.

Semalam, Beijing Youth Daily berkata pasukan Liga Super secara automatik akan dikenakan denda dalam perlawanan 3-0 musim ini jika mereka tidak menurunkan sekurang-kurangnya seorang pemain bawah 23 tahun China.

Tetapi Xu membayangkan pendekatan kewangan yang lebih ketat untuk kelab apabila berkata: “Pendapatan kami datang terutamanya daripada jualan tiket, yang tidak cukup baik untuk menampung perbelanjaan dan kami perlu mengendalikan kelab sebagai perniagaan.

“Kami perlu meningkatkan pendapatan melalui pertukaran pemain dan membina pasukan melalui latihan untuk pemain muda berbanding hanya membeli.”

Ketika dihubungi oleh AFP, Evergrande berkata ia tidak mempunyai komen mengenai laporan Xinhua.

Jadual pasukan pada masa ini termasuk lima pemain asing: Jackson Martinez dari Colombia, Ricardo Goulart, Paulinho dan Alan dari Brazil serta Kim Young-Gwon dari Korea Selatan.

Pengurus mereka, Luiz Felipe Scolari adalah bekas pengendali Brazil, Portugal dan Chelsea, yang mengambil alih pada 2015. Evergrande juga memenangi Liga Juara-Juara pada 2013 di bawah Marcello Lippi dari Itali yang juga memenangi Piala Dunia.

Pada 2016, China merupakan salah satu daripada lima negara berbelanja besar untuk mendapatkan bakat bola sepak antarabangsa sehingga melipatgandakan bayaran daripada AS$451 juta pada tahun sebelumnya.

Shanghai SIPG membeli penyerang Hulk lebih daripada AS$55 juta manakala Jiangsu Suning pula membeli seorang lagi penyerang Brazil, Alex Teixeira lebih daripada AS$50 juta.

Sebelum sekatan diumumkan bulan lepas, perbelanjaan telah melonjak lebih jauh dengan SIPG dilaporkan membayar AS$63 juta untuk pemain tengah Brazil, Oscar.

Dan Tevez dilaporkan menerima gaji tahunan 38 juta euro untuk pergi ke Shanghai Shenhua, sekali gus menjadikan pemain berusia 32 tahun itu menjadi pemain bola sepak dengan pendapatan paling tinggi di dunia.

Ketika tawaran sukar dibayangkan meletakkan bola sepak China dalam perhatian antarabangsa, mereka juga menarik kutukan daripada peminat tempatan yang menggesa mereka untuk melabur dalam memupuk bakat tanah air.

Pasukan kebangsaan China pada masa ini berada di ranking ke-86 di dunia di belakang Qatar dengan penduduk sekitar 2.6 juta berbanding China yang ada 1.3 bilion. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA