Everton ingin dapatkan khidmat Heaton

Everton ingin dapatkan khidmat Heaton

LONDON, 27 Mac (Agensi) – Everton dilaporkan sedang mempertimbangkan hasrat untuk menyambar penjaga gol Burnley, Tom Heaton.

Pemain berusia 29 tahun itu dipilih ke dalam skuad England minggu ini selepas kecederaan betis menimpa penjaga gol Manchester City Joe Hart ketika pertemuan tetangga berdepan Manchester United minggu lalu.

Ia menandakan peningkatan mendadak bekas pemain United itu yang mula menyinar di bawah Sean Dyche di Burnley.

Pengurus Everton Roberto Martinez mempertimbangkan perpindahan itu sejak musim panas lalu dan Heaton sekali lagi berada dalam senarai pendek kelab Merseyside bagi menggantikan Tim Howard.

Howard sudah mengesahkan kepulangan ke Amerika Syarikat dengan menandatangani kontrak dengan pasukan Major League Soccer (MLS), Colorado Rapids selepas hampir sedekad mencurah bakti.

Penjaga gol Ajax, Jasper Cillessen turut berada dalam radar Everton namun dipercayai penjaga gol Belanda itu lebih berminat ke kelab yang mampu menawarkan aksi Liga Juara-Juara.

Sementara itu, David Beckham membariskan legenda Brazil, Roberto Carlos sebagai ketua jurulatih untuk projek membina pasukan sendiri di Miami, menurut laporan di Sepanyol.

Bekas kapten England itu merancang untuk memiliki pasukan Miami United dan projek itu berjalan mengikut masa dan akan dilancarkan pada kempen Major League Soccer (MLS) 2017.

Malah perancangan jangka panjangnya turut mahu melihat bintang Barcelona, Lionel Messi melebarkan sayapnya ke pasukan berpangkalan di Florida itu.

Walaupun peluangnya untuk menandatangani pemain terbaik dunia kelihatan sukar, Beckham dilaporkan bernasib baik kerana memiliki beberapa rakan sepasukannya di Real Madrid yang sedia membantunya.

ARTIKEL YANG SAMA