Everton singkir Chelsea

Everton singkir Chelsea

LIVERPOOL, 13 Mac (AFP) – Romelu Lukaku meledak dua gol sekali gus membolehkan Everton mencatat kemenangan 2-0 pada aksi suku akhir Piala FA menentang bekas kelabnya, Chelsea yang turut menyaksikan Diego Costa dibuang padang.

Ketika perlawanan kian menghampiri kemuncaknya, Lukaku mengutip hantaran daripada Tom Cleverley pada minit ke-77 dan melepasi empat pertahanan Chelsea sebelum meledak gol pembukaan dan menggandakan kelebihan Everton lima minit berselang dan melayakkan The Toffees menempah tempat ke separuh akhir.

“Ianya perasaan yang hebat. Suasana di perlawanan ini melebihi segalanya dan pastinya akan diingati semua orang,” kata pengurus Everton, Roberto Martinez.

“Jaringan Lukaku itu bakal menjadi antara gol terhebat pernah disaksikan dalam saingan Piala FA.”

Walau bagaimanapun, kontroversi tetap menghambat perlawanan itu apabila Costa dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-84 selepas menghalakan kepalanya kepada Gareth Barry dan cuba menggigit pemain terbabit.

Lukaku meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang Pasukan Chelsea bagi gol pertama Everton. Chelsea tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara, sekali gus tidak berpeluang merangkul sebarang kejuaraan musim ini. – Reuters
Lukaku meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang Pasukan Chelsea bagi gol pertama Everton. Chelsea tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara, sekali gus tidak berpeluang merangkul sebarang kejuaraan musim ini. – Reuters

Namun, Martinez enggan mengulas insiden terbabit dan pengurus sementara Chelsea, Guus Hiddink mendakwa dia tidak melihat kejadian terbabit.

Kekalahan Chelsea itu turut menamatkan minggu buruk buat pasukan terbabit selepas turut tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara dan menyaksikan mereka tidak berpeluang merangkul sebarang kejuaraan musim ini.

“Semua orang tahu keadaan Chelsea. Tugas pertama ialah keluar daripada zon penyingkiran dan kami berjaya melakukannya dengan pantas. Dan kemudiannya kami berjuang demi dua trofi yang boleh dimenangi.

“Apapun, sekarang kami perlu bermain demi maruah memandangkan tiada ada lagi yang dipertaruhkan buat musim ini,” kata Hiddink.

ARTIKEL YANG SAMA