Exim berjaya tetap harga nota senior AS$500 juta

Exim berjaya tetap harga nota senior AS$500 juta

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) telah berjaya menetapkan harga nota tidak bercagar lima tahun bernilai AS$500 juta yang ditawarkan pada 120 mata asas berbanding Perbendaharaan AS pada kupon tetap sebanyak 2.48 peratus.

Dalam satu kenyataan hari ini, Exim Bank berkata, tawaran itu menandakan penerbitan tawaran awam didenominasi dolar AS ketiganya, berikutan kejayaan penerbitan nota dolar AS senior pertama pada 2012 dan penerbitan sukuk dolar AS senior pada 2014.

Ia berkata, nota itu akan diterbitkan selaras dengan program nota jangka sederhana pelbagai mata wang AS$3.0 bilion bank berkenaan baru-baru ini.

Nota terlibat ditawarkan berdasarkan format Peraturan S Akta Sekuriti 1933 AS dan dijangka diberi penarafan A3 oleh Moody’s Investors Service Inc dan A- oleh Fitch Ratings Ltd, kata bank itu.

“Hasil daripada tawaran itu akan digunakan untuk aktiviti perbankan am dan pembiayaan, modal kerja serta tujuan korporat lain.

“Nota itu dijangka disenarai di Singapore Exchange Securities Trading Ltd dan Labuan International Financial Exchange Inc,” kata Exim Bank.

Bank itu berkata, nota itu telah menarik minat 79 akaun daripada pelbagai kumpulan pelabur yang terdiri daripada pelabur Asia yang merupakan 88 peratus daripada jumlah peruntukan, dengan pelabur Malaysia menyumbang lapan peratus dan baki 12 peratus diperuntukkan kepada pelabur EMEA (Eropah, Timur Tengah dan Afrika).

Daripada segi jenis pelabur, tawaran itu menyaksikan penyertaan majoriti daripada pengurus dana (67 peratus), bank (23 peratus) dan syarikat insurans (8 peratus) dengan baki 2 peratus diperuntukkan kepada kelas pelabur lain, katanya.

Presiden dan Ketua Eksekutif, Norzilah Mohammed berkata, Exim Bank mengambil kesempatan daripada keadaan pasaran yang kondusif ketika melancarkan transaksi itu, yang menerima sokongan hebat daripada pelabur.

“Penetapan harga yang ketat oleh bank, tahap langganan dan kepelbagaian pelabur dalam tawaran itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan kredit yang kukuh Exim Bank serta peranan unik kami sebagai satu-satunya institusi kewangan pembangunan Malaysia yang khusus untuk mempromosi pembangunan usaha niaga rentas sempadan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA