Exxonmobil mulakan pengeluaran gas asli

Exxonmobil mulakan pengeluaran gas asli

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) – ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, anak syarikat Exxon Mobil Corporation, hari ini mengumumkan permulaan pengeluaran gas asli dari platform Telok B.

Telok B, terletak di pesisir pantai timur Semenanjung Malaysia adalah fasa kedua projek pembangunan gas Telok berkenaan.

“Penyiapan platform Telok B membuktikan keupayaan kontraktor Malaysia untuk mereka bentuk, memfabrikasi dan memasang kemudahan pengeluaran minyak dan gas dalam kaedah yang selamat dan cekap.

“Pembangunan medan Telok adalah satu lagi kejayaan perkongsian di antara ExxonMobil dan PETRONAS Carigali Sdn Bhd dalam membantu memastikan bekalan gas yang berterusan kepada negara,” kata Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc dan Pengerusi ExxonMobil Subsidiaries di Malaysia, See Kok Yew dalam satu kenyataan hari ini.

ExxonMobil dan PETRONAS Carigali masing-masing memegang 50 peratus kepentingan dalam projek terbabit.

Pembangunan di Telok itu mempunyai dua platform satelit – Telok A dan Telok B, dengan gabungan kapasiti lebih 450 juta kaki kaki padu gas asli sehari.

Lebih 4.8 juta jumlah jam bekerja diperlukan untuk menyiapkan pembangunan di Telok berkenaan.

Telok adalah satu daripada beberapa pelaburan huluan yang telah diumumkan di bawah Program Transformasi Ekonomi pada 2011, yang menyaksikan ExxonMobil dan PETRONAS melabur lebih RM10 bilion dalam aset minyak dan gas baharu bagi membantu memastikan bekalan tenaga yang berterusan dan boleh dipercayai kepada Malaysia.