F1 akan lebih ‘bising’ tahun depan

F1 akan lebih ‘bising’ tahun depan

LONDON, 1 Okt (Reuters) – Formula Satu (F1) akan lebih ‘bising’ selepas badan induk sukan itu meluluskan peningkatan ukuran kekuatan bunyi jentera perlumbaan itu selepas aduan enjin berkuasa hibrid V6 turbo yang diperkenalkan pada 2014 disifatkan terlalu ‘senyap’.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam satu kenyataan berkata kesemua jentera akan menggunakan sistem ekzos yang berbeza tahun depan.

“Tindakan ini dibuat bagi meningkatkan bunyi jentera dan tidak mendatangkan sebarang kesan kepada kuasa atau pelepasan,” kata kenyataan itu.

Enjin V6 yang digunakan ketika ini lebih menjimatkan dan dianggap terlalu senyap berbanding enjin lama yang menggunakan kuasa V8.

Tindakan itu membawa kepada rungutan peminat perlumbaan elit jentera empat roda dunia itu malah ada dikalangan mereka tidak lagi mengikuti sukan terbabit.

Supremo komersial F1, Bernie Ecclestone juga antara salah seorang pengkritik paling lantang membabitkan enjin baharu itu.