F1 kekal sukan berbahaya

F1 kekal sukan berbahaya

LONDON, 21 Julai – Bekas pelumba Formula Satu (F1), David Coulthard menyifatkan sukan perlumbaan itu kekal berbahaya kerana para pemandu tidak berupaya mengelak risiko \ʼkematian seperti dialami mendiang Jules Bianchi.

Ujar Coulthard, faktor tekanan dalam F1 yang sentiasa memaksa pemandu memberikan aksi terbaik untuk memenangi perlumbaan akan terus kekal sebagai sifat semula jadi sukan permotoran itu meskipun terdapat beberapa penilaian dilakukan bagi menjadikan ia lebih selamat.

“Tidak dinafikan, faktor keselamatan adalah perkara utama yang dititikberatkan oleh pemilik F1, Bernie Ecclestone.

“F1 adalah perlumbaan untuk mengatasi keupayaan manusia. Itu adalah perkara utama dan sebilangan pelumba berlumba dengan cara tersebut untuk menjadi lebih kompetitif serta cuba melepasi batas keupayaan manusia.

Para pelumba F1 memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Jules Bianchi. - Reuters
Para pelumba F1 memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Jules Bianchi. – Reuters

“Sepanjang 21 tahun dalam dunia F1, isu keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Ramai pemerhati kerap mempersoalkan isu keselamatan. Tragedi yang menimpa Bianchi jelas membuktikan F1 masih berbahaya,” katanya.

Coulthard turut mengakui, tragedi ngeri yang menimpa Bianchi di Litar Suzuka telah menyebabkan aspek keselamatan mula dipertingkatkan di litar-litar seluruh dunia.

“Ia (nahas) berlaku di sebuah litar lama (Suzuka) yang tidak banyak aspek keselamatan dan ditambah lagi dengan keadaan permukaan serta faktor cuaca dan selekoh berbahaya.

“Segala kekurangan itu mula diatasi di litar moden yang mempunyai permukaan lebih rata dan ruang lebih besar.

‘‘Timbul persoalan baharu pula iaitu pemandu menghadapi cabaran yang lebih mudah.

“Semua yang terlibat dalam F1 juga sedar mereka akan menghadapi risiko kematian tetapi kekal memilih untuk melakukannya kerana tahu ganjaran besar yang diperoleh selepas perlumbaan,” ujarnya. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA