F1: Lewis Hamilton juarai GP Monaco

F1: Lewis Hamilton juarai GP Monaco

MONACO, 30 Mei – Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton menjuarai perlumbaan F1 Grand Prix Monaco yang penuh dramatik susulan trek basah akibat hujan, sebentar tadi.

Tempat kedua dimenangi pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo yang julung kali bermula dari petak utama manakala pelumba Mexico, Sergio Perez dari pasukan Force India tempat ketiga.

Nico Rosberg pula menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh selepas ketinggalan 93.2 saat.

Impian juara dunia Formula Satu (F1) tiga kali, Lewis Hamilton untuk menjelmakan kemenangan pertama musim ini akhir tercapai selepas mendominasi 78 pusingan pada perlumbaan di Grand Prix (GP) Monaco.

Meskipun Litar Monaco itu diakui antara paling sukar kerana kedudukan dan reka bentuk trek yang sempit ia tidak menjadi masalah buat pemandu jentera Mercedes itu untuk muncul juara dalam keadaan litar yang basah selepas mencatatkan masa terpantas 1 jam 59 minit 29.133 saat (s).

Hamilton meraikan kejayaannya bersama trofi kemenangannya selepas menjuarai perlumbaan F1 Grand Prix Monaco. – AFP
Hamilton meraikan kejayaannya bersama trofi kemenangannya selepas menjuarai perlumbaan F1 Grand Prix Monaco. – AFP

“Terima kasih kepada penonton pada hari ini dan terutamanya kepada seluruh pasukan kerana menyediakan jentera yang terbaik pada hari ini.

“Walaupun beraksi dengan keadaan cuaca yang mencabar dan litar yang sangat unik memberikan kelebihan kepada saya untuk menjulang kejuaraan pada hari ini (semalam). Jelas strategi penggunaan tayar memberi kelebihan kepada saya pada perlumbaan ini,” jelas Hamilton sejurus perlumbaan tamat.

Pada perlumbaan tersebut, Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak kedua berjaya memintas Ricciardo pada pusingan ke-33 selepas pelumba Australia itu memasuki hentian pit untuk menukar tayar dan kesempatan tersebut diambilnya untuk melakukan pusingan terpantas serta meraih kedudukan pertama sehingga tamat perlumbaan.

Kejayaan tersebut menyaksikan Hamilton berjaya menaiki podium pertama sekali gus merapatkan jurang dengan perbezaan 24 mata berbanding pendahulu kejuaraan yang juga rakan sepasukannya Nico Rosberg (106 mata). – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA