F1 perlu berani berubah

F1 perlu berani berubah

LONDON, 10 Feb – Ketua Pasukan Formula Satu (F1) Renault, Cyril Abiteboul menggesa Kumpulan Strategi F1 agar tidak terlalu konservatif ketika mereka berbincang mengenai peraturan baharu bagi musim 2017.

Tahun lalu, F1 menjanjikan kepada peminat yang mana jentera-jentera akan lebih bising, pantas dan agresif pada masa akan datang.

Selain itu, timbul pula isu di mana banyak pasukan melahirkan kebimbangan mengenai tahap kualiti tayar Pirelli untuk menampung beban setiap jentera pasukan.

Kumpulan Strategi F1 dijangka bertemu bagi membincangkan cadangan terakhir berhubung peraturan musim 2017 dan Abiteboul resah sekiranya mereka membuat pilihan dengan cara lebih konservatif berbanding perubahan yang dijanjikan sebelum ini.

“Kami bukan sebahagian dari Kumpulan Strategi F1. Jadi, kami tidak akan menyertai perbincangan itu nanti.

Turkish Formula One Grand Prix: Race

“Apa yang akan berlaku? Sejujurnya, saya langsung tidak tahu. Saya cuma takut jika mereka memilih jalan lebih ‘senyap’ dan cuba elak melakukan sebarang perubahan kerana kebiasaannya, manusia takut melakukan kesilapan.

“Ada satu perasaan yang mana F1 kini diancam dengan beberapa perkara dan mereka dilihat seperti takut membuat keputusan yang silap. Jadi, mereka lebih berminat untuk tidak membuat keputusan.

“Sebenarnya saya fikir tidak membuat sebarang keputusan boleh menjadi keputusan paling teruk. Kami di sini mahu melihat cita-cita tinggi, kami mahu melihat perubahan yang lebih berani.

“Ini kerana saya percaya kami mampu berdepan dengan situasi tersebut jika berlaku perubahan peraturan pada musim depan,” katanya. – Agensi