Fab julang Blues, Everton tersingkir

Fab julang Blues, Everton tersingkir

LONDON, 21 Sept – Cesc Fabregas memberi amaran keras kepada pengurus Chelsea, Antonio Conte selepas dua jaringannya memastikan kemenangan 4-2 pasukan itu di Leicester sementara Everton dan Bournemouth pula mengalami kejutan apabila tersingkir pada pusingan ketiga saingan Piala Liga, kelmarin.

Fabregas yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan dalam Liga Perdana sejak Conte mengambil alih kelab, tetapi pemain tengah Sepanyol itu membuktikan dia masih boleh menjadi pemain berpengaruh menerusi jaringan pada masa tambahan.

“Saya gembira dapat bermain sejak dari awal permainan! Semoga ia akan menutup mulut beberapa wartawan yang memperkatakan perkara yang tidak betul,” kata Fabregas, yang dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Chelsea.

Di gelanggang lain, pasukan dari liga kedua, Norwich merosakkan permulaan mengagumkan Everton musim ini apabila memberi kekalahan pertama Ronald Koeman sebagai bos skuad Toffees dengan kemenangan 2-0 di Goodison Park.

Bournemouth juga antara mangsa kepada pasukan dari liga kedua, Preston yang meraih kemenangan 3-2 dan perlu berterima kasih kepada penyerang Denmark, Simon Makienok yang meledak hatrik.

Fabregas meraikan gol semasa menentang Leicester dalam aksi Piala Liga di stadium King Power, Leicester kelmarin. – AP
Fabregas meraikan gol semasa menentang Leicester dalam aksi Piala Liga di stadium King Power, Leicester kelmarin. – AP

Di Stadium King Power, Shinji Okazaki meletakkan juara Liga Perdana, Leicester mendahului dengan dua gol hasil jaringan pada minit ke-17 dan 34.

Gary Cahill berjaya mengurangkan defisit sebelum berakhir babak pertama dan skuad The Blues menyamakan kedudukan empat minit selepas rehat menerusi jaringan Cesar Azpilicueta.

Leicester bagaimanapun terpaksa mengharungi masa tambahan dengan 10 pemain selepas Marcin Wasilewski dibuang padang pada minit ke-89 kerana menyiku Diego Costa dan Fabregas menggunakan kelebihan itu dengan meledak dua jaringan pada minit ke-92 dan 94.

Everton berada di tangga kedua dalam Liga Perdana tetapi Koeman membuat enam perubahan dan percaturan beliau berjaya dibaca oleh Norwich yang mengejar promosi.

The Canaries mendahului apabila bekas penyerang Everton Steven Naismith tergelincir ketika cuba merembat dan secara tidak sengaja tertendang bola ke dalam jaring. Ledakan hebat Josh Murphy dari pinggir kotak penalti pada minit ke-74 melengkapkan kekecewaan mereka.

“Saya tidak boleh mengkritik pemain. Kami bermain dengan baik tetapi tidak cukup klinikal. Bezanya, Norwich klinikal dengan dua peluang mereka,” kata Koeman. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA