Fabregas selar sikap pemain Chelsea

Fabregas selar sikap pemain Chelsea

LONDON, 16 Dis (Reuters) – Arkitek Chelsea, Cesc Fabregas, menyelar sikap dan tingkah laku dirinya serta rakan sepasukan ketika juara bertahan itu terus tergelincir ke kelompok bawah Liga Perdana Inggeris.

Kelab London itu tewas buat kali kesembilan dalam saingan liga musim ini, 2-1 di tangan pendahulu Leicester, kelmarin dan tergelincir ke tangga kelima tercorot.

“Kami semua akan bertanggungjawab. Jika anda pemain yang hebat, dan dibayar seperti pemain hebat, anda perlu bermain sebagai pemain hebat dan berkelakuan sepertinya.

“Saya tidak katakan yang anda boleh mempunyai perlawanan dan musim yang buruk. Kami semua mempunyai pemain yang ternama dan sederhana, tetapi sikap masing-masing mestilah betul.

Fabregas menggesa rakan sepasukan supaya bertanggungjawab dengan bermain hebat kerana semuanya dibayar sebagai pemain yang hebat. - Reuters
Fabregas menggesa rakan sepasukan supaya bertanggungjawab dengan bermain hebat kerana semuanya dibayar sebagai pemain yang hebat. – Reuters

“Kami perlu sentiasa mempamerkan aksi terbaik, dan jika tidak berjaya, sikap kami perlu lebih baik daripada apa yang ditunjukkan oleh setiap pemain Chelsea sekarang,” kata Fabregas dalam soal jawab yang dilakukan di laman Facebook.

Bekas rakan sepasukan Fabregas di Arsenal, Thierry Henry, turut menyertai sesi soal jawab berkenaan dan dia percaya prestasi buruk Chelsea berpunca daripada pemain, bukannya Mourinho.

“Keadaan cukup sukar buat mereka, anda boleh menyalahkan pengendali tetapi saya rasa sebab sebenar adalah pemain,” kata Henry.

“Tiba masa untuk pemain bersikap lebih profesional. Di manakah maruah anda? Dengan kualiti yang ada dalam pasukan, masih tidak mampu menewaskan Bournemouth, Crystal Palace, apatah lagi di laman sendiri.”